PKR Mahu Zahid Hamidi Nilai Semula Keputusan Tak Benar Anwar Ke Parlimen

PETALING JAYA: PKR hari ini meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melihat semula keputusan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara yang tidak membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir ke sidang Dewan Rakyat minggu hadapan.

 

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul menyifatkan tindakan itu sebagai satu ‘ironi’ kerana Anwar pada 17 Februari telah dibenarkan untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi tetapi tidak membenarkannya ke Parlimen.

 

Katanya mengikut Fasal 48 (4) (c), sehingga kini Anwar masih Ketua Pembangkang kerana petisyen yang difailkan oleh keluarga beliau kepada Yang Dipertuan Agong masih belum dibereskan, dan ianya diakui oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

 

“Peranan paling utama setiap Ahli Parlimen ialah menghadiri sidang Parlimen,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya pada Khamis.

 

Beliau juga memaklumkan akan mengajak rakyat terlibat dengan menghantar petisyen kepada Yang Dipertuan Agong berhubung perkara ini selain terus berurusan dengan Yang dipertua Dewan Rakyat.

 

Mengulas tentang keputusan tersebut, Johari berkata beliau terkejut dengan keputusan itu.

 

Semalam, pihak Jabatan Penjara telah menghantar surat kepada Dewan Rakyat dan juga peguam Anwar, N Surendran dan Latheefa Koya menolak permohonan Ahli Permatang Pauh itu menghadiri sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 9 Mac 2015 ini. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.