Perkasa Pertikai Pengecualian GST Ke Atas Sekolah Dong Zhong

Kuala Lumpur – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong yang mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas yuran peperiksaan sekolah kendalian Dong Zhong.

 

Menurut Setiausaha Wira Perkasa Malaysia, Ruzainie Reezman, keputusan ternyata mengecewakan pihak mereka sambil mempersoalkan keistimewaan yang diterima sekolah terbabit.

 

Malah beliau turut menyifatkan kerajaan tidak berlaku adil kerana membuat keputusan sedemikian dan seharusnya lebih bijak dan amanah dalam menjalankan amanah rakyat bagi melaksanakan cukai berkenaan.

 

“Mengapa perlu diberi pengecualian kepada mereka sedangkan hasil kutipan yuran peperiksaan mereka pasti melebihi had kadar minima yang ditetapkan oleh pihak kerajaan untuk dikenakan cukai GST.

 

“Apa keistimewaan Dong Zhong hingga diberi pengecualian GST ini? Apakah mereka tidak cukup istimewa dengan peruntukan yang diberi oleh kerajaan?

 

“Mengapa perlu ada perbezaan sedangkan pribumi yang mempunyai hak keistimewaan juga tidak terlepas dari GST. Pelaksanaan GST ini harus diselaraskan di semua peringkat dengan telus. Amat tidak adil jika ada pihak yang dikecualikan GST namun mereka seharusnya dikenakan GST tersebut,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

 

Ruzainie juga menjelaskan bahawa Perkasa membantah tindakan tersebut dan meminta kerajaan untuk lebih peka dengan mendahulukan kestabilan ekonomi negara dan juga kesejahteraan rakyat.

 

Menurut beliau, masih banyak lagi sekolah-sekolah yang tidak menerima peruntukan yang cukup dan itu lebih penting untuk diberikan perhatian berbanding mengecualikan GST dari sekolah kendalian Dong Zhong.

 

“Jelas ini memperlihatkan kelemahan kerajaan dalam penyelarasan dan perlaksanaan GST. Kerajaan seharusnya teliti dan peka dengan penyelarasan dan perlaksanaan cukai ini.

 

“Pengecualian cukai seperti ini tidak memberi apa-apa kesan positif terhadap perkembangan ekonomi dan sosial negara. Berapa banyak lagi keistimewaan harus diberi kepada Dong Zhong? Tidak cukup berjuta ringgit diperuntukkan kepada Dhong Zhong?

 

“Mengapa pihak kerajaan masih membantu mereka dengan memberi kemudahan kepada pentadbiran kewangan mereka? Dulu mereka pernah membantah perlaksanakan Pelan Pembanggunan Pendidikan Malaysia (PPPM), kini mereka diberi kelebihan dengan pelepasan cukai bagi yuran peperiksaan sekolah menengah persendirian Cina pula.

 

“Seharusnya apa yang mereka lakukan dulu perlu jadikan ia sebagai peringatan dan pengajaran, namun kerajaan hari ini lemah dalam menangani isu kecil seperti ini,” luahnya lagi.

 

Semalam, Chua Tee Yong mengumumkan yuran peperiksaan bersama sekolah-sekolah menengah persendirian Cina Malaysia (Unified Examination) dikecualikan daripada GST.

 

Pelepasan cukai itu menurut beliau, terpakai kepada sekolah persendirian Cina yang dikendalikan oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) sahaja.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.