Pengurus ‘Sengkek’ Rompak Pasar Raya

AMPANG – Dibebani hutang kad kredit menyebabkan pengurus pasar raya merancang rompakan licik sebelum melarikan wang RM188,457.55 daripada syarikatnya Isnin lalu.

 

Suspek berusia 35 tahun itu dikesan menggodam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya itu bertujuan menghilangkan bukti jenayah dilakukan.

 

Malah suspek dikesan berpura-pura terkejut dengan kejadian itu sebelum tampil membuat laporan ‘rompakan’ itu di Balai Polis Ampang, di sini.

 

Sumber berkata, perbuatan licik suspek bagaimanapun memakan diri apabila tindakannya itu dihidu pihak berkuasa sebelum dia ditahan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada jam 5 petang, kelmarin.

 

Menurutnya, suspek sebelum itu tampil di Balai Polis Ampang di sini, pada jam 9 pagi Isnin lalu dengan mendakwa pasar raya tempat dia bekerja diceroboh perompak.

 

“Suspek mendakwa dia menyedari kejadian itu ketika mahu membuka premis berkenaan pada jam 7.15 pagi.

 

“Dalam laporannya, suspek mendakwa semakan CCTV di premis itu diubah penjenayah yang melarikan wang dari dalam peti besi,” katanya.

 

Sumber itu berkata, polis merekodkan percakapan sekurang-kurangnya empat individu termasuk pengadu yang juga suspek utama.

 

“Hasil siasatan yang dilakukan, polis menemui beberapa bukti mengaitkan lelaki terbabit sebagai suspek utama kejadian kehilangan wang dari dalam peti besi syarikat,” katanya.

 

Menurutnya, suspek yang disoal siasat akhirnya mengaku melakukan rompakan berkenaan untuk membayar bil kad kredit miliknya.

 

“Susulan pengakuannya itu, polis memeriksa kereta dan rumah suspek sebelum menemui semula wang RM137,250 yang disimpan di dalam kotak.

 

“Wang selebihnya didapati digunakan suspek untuk membayar hutang kad kredit,” katanya.

 

Katanya, lelaki terbabit kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK).- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.