Kelantan Perlu Waspada Taktikal Karathu

Kota Bahru – Kelantan perlu berwaspada dengan taktikal yang bakal digunakan jurulatih baharu Perak, Datuk M. Karathu apabila The Red Warriors (TRW) bertandang ke Stadium Perak, Ipoh, dalam saingan Liga Super, Jumaat ini.

 

Kapten TRW Mohd Badri Mohd Radzi berkata Perak, selain mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, bekas jurulatih Kelantan itu juga mempunyai taktikal yang baik dan mengenali setiap pemain TRW.

 

“Kita tidak boleh ambil mudah pertemuan ini kerana dia (Karathu) pernah melatih Kelantan sebelum ini dan dia tahu taktikal kita.

 

“Selain itu, Perak juga belum kalah dalam perlawanan Liga Super musim ini dan mereka mempunyai ramai pemain muda berbakat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

 

Mohd Badri berkata pasukannya juga perlu berwaspada dengan aksi beberapa pemain import pasukan lawan, antaranya Namkung Woong dan Charles Souza Chad.

 

“Kita perlu beri perhatian kerana mereka amat berbahaya dan bukan satu tugas yang mudah untuk mencatat kemenangan di tempat lawan.

 

“Kami akan lakukan yang terbaik untuk menang, meskipun mereka (pemain Perak) kurang pengalaman kerana rata-rata pemain adalah muda tetapi mereka sering bekerja keras untuk menang,” katanya.

 

Mohd Badri berharap pasukannya akan terus mengekalkan rentak kemenangan selepas berjaya menewaskan Sarawak 2-1 dalam aksi pertama Piala FA, Jumaat lepas.

 

“Moral pemain ketika ini amat dahagakan kemenangan jadi kita harap dapat kekalkan momentum sedia ada untuk catat kemenangan di tempat lawan,” katanya.

 

Kelantan kini berada di kedudukan kelima Liga Super dengan enam mata, ketinggalan satu mata di belakang Perak (tujuh mata) yang kini berada di tangga kedua liga, selepas tiga perlawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.