Ferris Danial Milik The Fighters

KUALA LUMPUR – Ferris Danial Mat Nasir kini sah milik FELDA United selepas isu perebutan bekas pemain Harimau Muda A itu dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selesai.

 

Perkembangan terbaru itu disahkan pengendali FELDA United Irfan Bakti Abu Salim yang gembira dengan kehadiran pemain kelahiran Kelantan itu selepas sekian lama menjadi rebutan antara The Fighters dan KAFA.

 

“Isu sudah selesai. Dia kini sah pemain FELDA United dan saya amat mengalu-alukan kehadirannya,” katanya.

 

Kehadiran Ferris pasti memberikan pilihan lebih luas kepada Irfan Bakti memperkuatkan jentera serangan terutama dalam memberi saingan kepada dua pemain import, Edward Junior Wilson dan Makeche Ndumba yang banyak mensia-siakan peluang pada aksi pusingan kedua Piala FA, Sabtu lalu.

 

Irfan Bakti juga berpeluang menurunkan Ferris untuk aksi Liga Super menentang LionsXII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini selepas tidak dapat berbuat demikian dalam tiga perlawanan awal.

 

“Kami bertuah kerana memilikinya kerana dia sudah biasa beraksi di pentas antarabangsa. Dia mempunyai beberapa kelebihan seperti larian pantas dan kemampuan menggelecek.

 

“Besar kemungkinan saya akan menurunkannya Sabtu ini,” katanya.

 

Isu membabitkan Ferris bermula apabila dia tidak melaporkan diri kepada KAFA selepas FAM membubarkan Harimau Muda A sekali gus mencetuskan perebutan antara kedua-dua pihak hingga memaksa campur tangan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang tidak mahu memanjangkan perkara itu kepada Jawatankuasa Status yang pasti mencetuskan banyak implikasi.

 

Malah pengendali Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee turut menyuarakan kegelisahan susulan kekusutan berkenaan kerana bakal menjejaskan perancangannya untuk menghadapi Sukan SEA Singapura pada Jun nanti.

 

FELDA United berpeluang mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Liga Super andai mampu menumbangkan LionsXII selepas melakar dua kemenangan dan satu keputusan seri sebelum ini. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.