Dituduh Dua Kali Rogol Anak Sendiri

KOTA BHARU – Seorang bapa mengaku tidak salah atas dua tuduhan merogol anak kandungnya ketika dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, semalam.

 

Tertuduh yang berusia 42 tahun, didakwa merogol anak gadisnya yang kini berusia 17 tahun di sebuah rumah di Kampung Panji, Pengkalan Chepa, di sini.

 

Kejadian pertama didakwa berlaku pada satu malam, awal tahun 2011 dan ketika itu mangsa berusia 13 tahun, manakala kejadian kedua pula berlaku pada jam 1 pagi, 8 Oktober tahun lalu, sewaktu mangsa berusia 16 tahun.

 

Kedua-dua dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

 

Susulan penafian tersebut, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan.

 

Kes tersebut ditetapkan 13 April depan untuk sebutan semula. Tertuduh tidak dibenarkan jamin oleh Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang pemuda, Mohammad Izwan Jali, 23, mengaku tidak salah atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Jaya Setia, Badang, di sini, antara jam 3 dan 4 petang, 19 Februari lalu.

 

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 April depan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.