Bubar Pasma Jika Mahu Bersama Pas

KUALA TERENGGANU – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) perlu dibubarkan sekira­nya pemimpin serta ahli pertubuhan itu masih berhasrat agar Pas menerima mereka untuk bersama-sama menangani kemelut dalam pakatan pembangkang.

 

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, Majlis Syura Ulama Pas tetap tidak berganjak dengan pendiriannya melarang seluruh ahli Pas menyertai Pasma serta sebarang program anjuran pertubuhan itu.

 

“Kita sudah buat keputusan, kita (Pas) dengan cara kita dan Pasma dengan cara mereka. Kalau mereka nak juga sertai kita (Pas), mereka kena bubarkan Pasma dan duduk bersama kita dalam Pas, selesai masalah dan bukan susah pun.

 

“Tapi kalau mereka tetap sayangkan Pasma, mereka tak payahlah duduk bersama-sama kita (Pas) kerana kita sudah buat keputusan iaitu semua ahli Pas tidak dibenarkan sertai Pasma atau sebarang program anjurannya, itu sudah jelas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Beliau diminta mengulas hasrat Pasma yang masih meminta Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Pasma bagi menangani kemelut dalam pakatan pembangkang.

 

Semalam, Pengerusi Pasma Perak, Mohd. Saad Ismail berkata, Pas Pusat perlu menegah pemimpinnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sedangkan penubuhan Pasma adalah untuk membantu memperkuatkan pakatan pembangkang, bukan mencabar Pas.

 

Nik Muhammad Zawawi seterusnya membayangkan pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana ahli Pas yang tidak menghormati keputusan kepe­mimpinan tertinggi Pas berhubung pendirian parti terhadap Pasma termasuk dipecat keahlian.

 

Beliau turut menyifatkan kewujudan Pasma sebenarnya langsung tidak mendatangkan bahaya kepada Pas.

 

“Kita tak pernah anggap Pasma boleh membahayakan Pas. Pada kita ini perkara biasa sahaja, ada atau tidak (Pasma), semua sama saja dan Majlis Syura Ulama Pas tak anggap Pasma boleh runtuhkan jemaah dalam Pas.

 

“Tapi saya nak tegaskan sekali lagi bahawa Pas hanya boleh terima individu sahaja, kalau pertubuhan seperti Pasma, kita tak boleh terima,” jelasnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.