Benar Anwar Ke Parlimen Ibarat Hina Institusi Kehakiman

Kuala Lumpur – Keputusan Jabatan Penjara yang menolak permohonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk membenarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sidang Parlimen yang dijadualkan Isnin depan tidak sepatutnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

 

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang berkata, perkara yang diputuskan itu adalah tidak menyalahi mana-mana peraturan yang dibuat.

 

“Ia adalah wajar kerana undang-undang tetap undang-undang dan ianya tidak membezakan antara satu sama lain.

 

“Dan kerana itu keputusan Jabatan Penjara saya lihat tidak menyalahi mana-mana peraturan pun dan seharusnya mana-mana pihak pun tidak sepatut mempertikaikannya,” katanya kepada The Rakyat Post.

 

Beliau yang juga ahli Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional berkata, ketegasan yang ditunjukkan oleh Jabatan Penjara akan menjadi bahan rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin bertindak di luar jangkaan.

 

“Dan ia tentunya akan menjadi amalan yang akan menjadi rujukan suatu hari nanti jika pihak berwajib melakukan tindakan yang lain dan di luar kebiasaan apa lagi menyalahi peraturan,” jelasnya.

 

Sementara itu menurut Pakar Perlembagaan dan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz, tindakan itu adalah berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada yang diamalkan di negara ini.

 

“Kuasa untuk memberi izin kepada Anwar untuk ke Parlimen adalah di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Penjara.

 

“Secara peribadi saya bersetuju dengan keputusan menolak permohonan itu, kerana jika dibenarkan itu umpama menolak keputusan mahkamah tempoh hari,” katanya menurut laporan sebuah portal.

 

Jelas beliau lagi, meskipun Anwar masih lagi Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh, beliau juga merupakan penjenayah yang sudah disahkan bersalah di atas kesalahan meliwat bekas pembantunya.

 

Oleh yang demikian, semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah melainkan Ketua Pembangkang itu mendapat pengampunan dari pihak Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

“Kita maklum kalau banduan yang boleh keluar adalah mereka yang ada perbicaraan di mahkamah atau ada masalah kesihatan, itu pun akan diiring.

 

“Jika tidak, bagi saya ia akan memberi kesan yang mendasar kepada kuasa mahkamah, kita dah bagi kuasa kepada mahkamah untuk mensabitkan seorang itu pada kesalahan mereka.

 

“Sekiranya hukuman itu tidak boleh dilaksanakan, itu satu tamparan hebat buat institusi mahkamah atau kehakiman,” tambah beliau lagi.

 

Sebelum ini keluarga Anwar menghantar petisyen kepada Lembaga Pengampunan di Istana Negara bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 24 Februari lalu.

 

Malah keesokannya, Wan Azizah turut memohon kepada Kementerian Dalam Negeri untuk membenarkan Anwar menghadiri sidang Parlimen yang dijadual berlangsung 9 Mac ini.

 

Namun permohonan itu bagaimana pun ditolak oleh Jabatan Penjara melalui surat yang dihantar oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar, semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.