Bekalan Air Tiga Wilayah Di Selangor Pulih Hari Ini Dan Esok

SHAH ALAM: Gangguan bekalan air terawat di wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang dijangka pulih sepenuhnya hari ini manakala daerah Hulu Langat pula menjelang esok pagi setelah terjejas akibat pencemaran sejak kelmarin.

 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata proses penyaluran semula itu dilakukan setelah loji rawatan air Sungai Semenyih mampu beroperasi pada kapasiti penuh sejak 3 pagi semalam.

 

Katanya, analisis pensampelan in-situ bagi parameter pH, ammonia dan mangan di Sungai Semenyih dan anak-anak sungainya yang dibuat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd mendapati ia berada pada kadar normal.

 

“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengenal pasti punca yang menyebabkan pencemaran itu berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurutnya, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) akan terus menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui 49 lori tangki yang digerakkan mulai kelmarin bagi mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan yang masih terjejas.

 

Zaidy turut menggalakkan pengguna yang mengalami gangguan bekalan air untuk mendapatkan perincian status pemulihan mengikut kawasan menerusi laman web Syabas iaitu www.syabas.com.my.

 

Gangguan bekalan air dan tekanan air rendah sejak kelmarin menjejaskan 39 kawasan di Petaling yang melibatkan 135,000 pintu rumah, 72 kawasan di Kuala Langat melibatkan 45,029 pintu rumah, 216 kawasan di Hulu Langat melibatkan (146,954 pintu rumah) dan 61 kawasan di Sepang melibatkan 148,236 pintu rumah. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.