Banyak Syarikat Akan Sertai Kempen Turun Harga

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan berusaha untuk menarik lebih banyak syarikat besar turut serta dalam Kempen Penurunan Harga 2015.

 

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, perbincangan akan diadakan dengan syarikat-syarikat besar lain dalam usaha meningkatkan penyertaan mereka.

 

“Kementerian ingin mengembangkan kempen ini kepada syarikat-syarikat besar lain dan berharap semua berminat melibatkan diri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.

 

Hasan berkata, kementerian juga telah bertemu dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FFM) untuk mengajak anggota di bawahnya melibatkan diri dalam kempen berkenaan.

 

Bagaimanapun, kementerian tidak mempunyai hak untuk memaksa syarikat supaya terlibat dalam kempen berkenaan memandangkan Malaysia mengamalkan konsep pasaran terbuka, namun mengalukan-alukan mana-mana syarikat yang berminat, katanya.

 

Kempen yang telah dilancarkan Ahad lepas melibatkan sebanyak 16 pasar raya besar mengambil bahagian, antaranya The Store, Tesco, Aeon Big, Giant, Mydin, Milimewa Supermarket & Department Store, Econsave Cash & Carry, 99 Speed Mart, Pasar Raya D’One Mart dan Pasar Raya Hock Kee Seng.

 

Ia melibatkan lebih 1,000 cawangan pasar raya di seluruh negara, dengan lebih 82,000 produk keperluan harian seperti makanan dan pakaian ditawarkan dengan diskaun antara 10 ke 70 peratus, katanya.

 

Terdahulu mengenai CIP tersebut, Hasan berkata Angkasa harus mempamerkan imej yang bersih sesuai peranannya yang menaungi lebih 11,600 buah koperasi di negara ini dengan keanggotaan kira-kira lapan juta orang.

 

“Angkasa dilihat sebagai ibu kepada koperasi-koperasi di negara ini dan sudah tentu dilihat sebagai ‘contoh’, jadi dalam usaha untuk mengintegritikan gerakan koperasi, wajarlah ia bermula dengan Angkasa,” kata Hasan. – Bernama / Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.