KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tegas mendesak pengembalian mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dikembalikan oleh Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan bersama yang dikeluarkan Majlis Setiausaha PH itu menyatakan pakatan berkenaan tidak menuntut pilihan raya diadakan pada ketika ini sebaliknya mendesak mandat rakyat pada PRU-14 dipulangkan memandangkan ia sah sehingga 2023.
Katanya, mesyuarat bulanan Majlis Presiden PH semalam mempertikai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu pilihan raya.
“Amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesaikan isu pandemik dan ekonomi.
“Maka PH kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU-14 sah sehingga 2023.
“Justeru yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya, pada kadar segera,” kata kenyataan bersama terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli dan DAP, Anthony Loke.
Selain itu, Majlis Presiden PH turut mempersoalkan isu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah diumum pada 12 Januari lalu memandangkan senarai nama telah diserahkan kepada pihak kerajaan lebih dua minggu lalu.
Namun, katanya, sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.
“Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat.
“PH berpendirian bahawa segala kuasa yang diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19 dan juga mengatasi kelembapan ekonomi sudah terkandung dalam undang-undang sedia ada,” jelas kenyataan itu lagi.