Elak Insiden Berulang, Timbus Segera Bekas Lombong Bauksit – Tengku Abdullah

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan semua lombong bauksit yang tidak digunakan sehingga menjadi kolam terbiar ditimbus bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

 

Baginda bertitah, pagar dan papan tanda amaran juga perlu dipasang di kawasan berisiko sebagai langkah keselamatan.

 

Titah baginda, tindakan itu perlu dilakukan segera oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tiga kanak-kanak lemas di kolam bekas perlombongan bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, Sungai Karang di sini berulang.

 

“Pihak berkaitan perlu menimbus semua bekas lombong atau memasang pagar termasuk papan tanda amaran sebagai langkah keselamatan,” titah baginda.

 

Pemangku Raja Pahang bertitah demikian ketika ditemui pemberita semasa berangkat menziarahi jenazah tiga kanak-kanak yang lemas selepas terjatuh ke dalam kolam takungan bekas aktiviti perlombongan bauksit di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini malam tadi.

 

Baginda yang diiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah tiba di unit berkenaan kira-kira pukul 9.30 malam dan berada di situ sehingga proses bedah siasat selesai serta semua jenazah dituntut waris masing-masing sejam kemudian.

 

Akhbar hari ini melaporkan, tiga kanak-kanak termasuk dua beradik lemas di dalam sebuah kolam takungan bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya dalam kejadian pada pukul 5.30 petang semalam.

 

Kejadian itu berlaku apabila mangsa, Sasabella Zulhairi, 12, dan adiknya, Mahathir Mohamad, 7, serta Nureen Ain Juwita Mohd. Sharif, 10, cuba mengambil seluar milik seorang lagi adiknya, Muhammad Aiman Hakimi, 10, yang terlucut di dalam kolam tersebut.

 

Dalam pada itu, Tengku Abdullah merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi ujian tersebut.

 

Sementara itu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengarahkan semua pengusaha lombong bauksit di Pahang menimbus bekas lombong dan memasang pagar serta papan tanda untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku pada masa hadapan.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian itu akan mencari satu pendekatan bagi mewajibkan semua pengusaha lombong melaksanakan langkah itu kelak.

 

Katanya, pihak kementerian juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains untuk menyiasat kewujudan bekas-bekas lombong lain yang wujud di Kuantan supaya tindakan susulan dapat diambil dengan segera. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.