CEO Uber Tarik Diri Jadi Penasihat Perniagaan Trump

 

WASHINGTON – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Uber bertindak menarik diri daripada menganggotai Majlis Penasihat Perniagaan yang ditubuhkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

 

Travix Kalanick mengambil tindakan itu seminggu selepas Trump mengeluarkan perintah sekatan perjalanan ke atas tujuh negara Islam sekali gus menimbulkan kebimbangan syarikat dan kakitangan Uber.

 

Kalanick bercakap secara ringkas dengan Trump pada Khamis lalu mengenai perintah itu selain turut memberitahu bahawa beliau tidak akan menyertai majlis berkenaan.

 

“Menyertai kumpulan itu tidak bermakna merupakan satu sokongan kepada presiden atau agendanya tetapi malangnya ia telah disalah tafsir,” katanya.

 

Kalanick merupakan salah seorang eksekutif daripada 16 syarikat yang terpilih untuk menyertai majlis berkenaan.

 

Kumpulan itu dijadualkan mengadakan mesyuarat pertama semalam.

 

Malah, terdapat bantahan di seluruh dunia terhadap perintah eksekutif Trump yang melarang perjalanan daripada tujuh negara Islam.

 

Kebanyakan syarikat multinasional selain teknologi turut berang dengan perkara itu kerana kepentingan visa selain imigran turut menyumbang kepada kepada kejayaan mereka.

 

Pemandu Uber sebelum ini membidas Kalanick dan syarikat itu kerana menganggap beliau merestui Trump, selepas arahan presiden itu menerima tentangan hebat dalam dan luar negara. – dpa/Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.