Usaha Perkasa Bidang Pendidikan Tanpa Mengira Kaum – PM

KULIM – Kerajaan komited untuk mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat negara ini tanpa mengira kaum dengan terus memperkasa bidang pendidikan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri berkata, bidang pendidikan menjadi sebahagian daripada strategi keseluruhan yang dirangka untuk membangunkan masyarakat termasuk bagi kaum India.

 

“Sebagai kerajaan kita mesti berlaku adil kepada semua kaum dan sebagai seorang beragama Islam, kita dikehendaki Allah apabila memimpin dan menghukum, mestilah berlaku adil pada semua kaum dan itu adalah satu kewajipan.

 

“Waktu ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) jadi perdana Menteri, beliau ada perkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), di mana diuar-uarkan ketika itu apabila sampai bab pembasmian kemiskinan mesti dilakukan tanpa kira kaum…itu dijanjikan pada 1970-an lagi.

 

“Jadi sesiapa tak kira keturunan atau kaum kalau tergolong dalam golongan miskin, maka kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk bela dan bawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

 

Perdana Menteri berucap merasmikan perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Paya Besar, di sini, sebelum mengumumkan penukaran nama sekolah itu kepada SJKT KO Saranggabani.

 

Selain itu, Najib berkata penyediaan akses kepada pendidikan berkualiti dan percuma dilihat sebagai kaedah terbaik membantu bukan sahaja golongan miskin tegar dan miskin relatif, malah kumpulan yang diklasifikasikan sebagai B40.

 

“Kalau kita beri anak mereka ini akses kepada pendidikan berkualiti, apatah lagi pendidikan percuma, mereka akan punyai peluang untuk bangunkan diri dengan taraf pendidikan yang mengikut kemampuan mereka.

 

“Dengan ini mereka juga boleh menjadi orang dewasa yang mempunyai kelulusan yang jadi profesional…melalui cara ini kita boleh lihat kalau ada seorang daripada keluarga berkenaan ‘menjadi’ dan ada kelulusan tinggi, maka keseluruhan keluarga sosio-ekonominya dapat kita angkat ke tahap yang lebih baik dan terjamin,” katanya.

 

Mengenai kaum India, Perdana Menteri mengakui bangga apabila SJKT Jalan Paya Besar diiktiraf sebagai sebahagian sistem pendidikan negara.

 

Katanya, pendidikan akan terus menjadi sebahagian daripada strategi keseluruhan kerajaan untuk bangunan masyarakat India.

 

“Kita sudah ada pelan untuk komuniti India, sehingga kini ia sedang berjalan dan sedang menunjukkan hasil. Saya nak beritahu kepada kaum India apabila kita janji bukan kosong, tetapi ia boleh ditepati,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.