Studio ‘Upin dan Ipin,’ Les Copaque, Menang Anugerah Di Indonesia

KUALA LUMPUR — Les Copaque telah merangkul anugerah “Digital Indonesian League 2016” dalam kategori permainan untuk aplikasi permainan mudah alih “Upin & Ipin Demi Metromillenium.”

 

Aplikasi tersebut dibangunkan secara usaha sama di antara Les Copaque Games Development Inc (Malaysia) dan Agate Studio (Indonesia).

 

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam satu kenyataan hari ini, berkata anugerah itu diberikan oleh penganjur acara iaitu Teknopreneur di Perhimpunan Pembangun Mudah Alih 2016 yang diadakan di Jakarta baru-baru ini.

 

“Les Copaque sentiasa menjadi contoh bakat dari Malaysia yang terbaik dan permainan Upin & Ipin adalah produk yang terbaik yang akan memberi inspirasi kepada lebih banyak kerjasama multinasional seiring dengan Asean yang akan berkembang sebagai satu komuniti besar dalam industri kreatif,” kata Pengarah Kreatif Multimedia Hasnul Hadi.

 

Pengarah Urusan Les Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, syarikat itu berharap untuk terus terlibat dalam projek merentas sempadan.

 

“Kami boleh mengembangkan industri ini sebagai satu kesatuan masyarakat di bawah rantau ini,” katanya.

 

Les Copaque, sebuah syarikat status Multimedia Super Corridor, telah ditubuhkan pada tahun 2005 bagi menerajui industri animasi Malaysia dan memberi peluang kepada graduan tempatan untuk mempamerkan bakat mereka. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.