Video: Ahmad Bashah Tidak Perlu Peduli Serangan Peribadi – Institusi Pondok

ALOR SETAR – Jawatankuasa Gabungan Institusi Pondok, Maahad Tahfiz dan Ilmuwan Sunni menyokong Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

Pengerusinya, Datuk Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi berkata Ahmad Bashah tidak perlu melayan kritikan musuh politik mengenai tahap pendidikannya kerana apa yang penting adalah kemampuan untuk bekerja dan berkhidmat.

 

“Saya rasa beliau tidak perlu ambil peduli dengan serangan peribadi yang dilemparkan. Yang penting beliau mempunyai pendirian sendiri (kerana) pada kami isu kelulusan merupakan satu isu yang lain.

 

“Apa yang penting kemampuan beliau untuk bekerja, pengalaman, keterbukaan dan ketrampilan pemimpin adalah merupakan perkara penting untuk membuktikan dia mampu merapatkan hubungan dengan rakyat.

 

“Pada saya sesiapapun yang memimpin di Kedah ini, kita (rakyat) hendaklah memberikan ketaatan yang penuh selagi mereka patuh kepada ajaran Allah,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

 

Mengulas lanjut mengenai pelantikan itu, Abdul Aziz berharap Ahmad Bashah berusaha untuk mempertahankan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah yang diserang dari pelbagai fahaman yang baru seperti Syiah dan sebagainya.

 

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya melupakan perkara yang sudah berlaku dan memulakan kehidupan baru.

 

“Kami juga merasakan orang tidak ada masalah, asalkan Datuk (Seri) Ahmad Bashah buktikan kemampuan beliau untuk berkhidmat tanpa perlu menyuruh, masyarakat dengan sendiri akan faham.

 

“Beliau perlu turun untuk bersama dengan rakyat mendengar apa aduan, bisikan (dan) keluhan orang ramai. Masyarakat (di Kedah) tidak mengharapkan upah (tetapi) mereka mahukan simpati,” katanya.

 

Mudir Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah Melele, Ustaz Mohd Jamil Sadaqi al-Jarumi mahu Adun Bakar Bata itu meneruskan usaha untuk mendekati sekolah pondok dan maahad tahfiz, mengenali masalah yang dihadapi dan menyalurkan bantuan yang diperlukan.

 

“Kita berharap Datuk Ahmad Bashah dapat meneruskan usaha untuk mendekati sekolah pondok dan maahad tahfiz supaya institusi ini mendapat pembelaan yang sewajarnya.

 

“Ya, sebelum ini beliau banyak berusaha serta memberikan bantuan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah agama.

 

“(Tetapi) Saya mengharapkan agar Menteri Besar yang baharu dapat mewujudkan satu gerakan yang lebih konsisten kepada sekolah agama dan warga pondok agar ia dapat dipertingkatkan supaya situasi semasa dapat diredakan,” katanya.

 

Semantara itu, Pemangku Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Prof Datuk Dr Sayyid Muhammad Aqiel al-Mahdaiy al-Husainy menyifatkan pelantikkan Ahmad Bashah merupakan ketentuan tuhan dan berharap beliau mampu membawa negeri Kedah kearah kedamaian, keamanan dan kesejahteraan.

 

“Perlantikan Datuk Seri Ahmad Bashah adalah menurut kehendak Allah dan kita mendoakan agar berhasil dalam menjalankan tugasnya kepada bangsa, agama dan negara.

 

“Saya yakin dia adalah orang yang baik yang telah berbuat bangsa dan negara. InsyaAllah orang agama akan mendukung pemimpin-pemimpin di negeri ini (Kedah) dan harapan saya agar mereka semua bersatu,” ujarnya. – TheRakyatPost

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.