Wujud Banyak Faktor Yang Mempengaruhi Penetapan Harga Barang – Timbalan FOMCA

Kuala Lumpur – Pengguna terus mendesak peniaga agar menurunkan harga barang apabila harga petrol mengalami penurunan.

 

Ini berikutan sikap peniaga sendiri sebelum ini yang menggunakan faktor kenaikan harga petrol sebagai alasan untuk mereka menaikkan harga barang.

 

Merujuk penurunan harga petrol ketika ini, rakyat menggunakan perbandingan sama iaitu jika harga petrol turun, maka harga barang juga akan turut sama turun.

 

Namun, situasi yang berlaku sebaliknya apabila harga barang masih tetap sama.

 

Menurut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, wujud banyak faktor yang mempengaruhi penetapan harga barang.

 

“Mungkin ada faktor-faktor lain peniaga menaikkan harga tetapi itu (harga petrol) adalah salah satu alasan peniaga gunakan. Jadi, berdasarkan keaadan sekarang peniaga sepatutnya melakukan perkara yang sama.

 

“Bahan api merupakan salah satu komponen dalam penentukan harga barang tetapi ia bukanlah sebagai faktor utama. Ia merupakan sebagai faktor utama sekiranya pengangkutan digunakan untuk menghantar barang.

 

“Sebagai contoh, dalam pengeluaran sayur ia tiada kaitan dengan bahan api tetapi oleh kerana hasil tersebut perlu di bawa ke tempat lain seperti pasar maka di situ kos bahan api terlibat,” kata ketika dihubungi Malaysian Digest hari ini.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek akan melakukan perjumpaan dengan pemborong pada minggu hadapan untuk mendapatkan penjelasan berhubung harga barang yang disuarakan rakyat berikutan penurunan harga petrol.

 

Mohd Yusof berharap hasil perjumpaan tersebut peniaga akan menurunkan harga barang mereka seiring dengan penurunan harga petrol.

 

“Saya harap hasil perjumpaan beliau dengan peniaga, harga barang barang akan turun kerana dengan penurunan harga petrol maka ia akan mengurangkan kos jadi mereka sepatutnya menurunkan harga untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pengguna,” katanya.

 

Selain daripada itu, Mohd Yusof juga meminta kerajaan menggunakan budi bicara meminta peniaga menurunkan harga barang sekiranya kos pengeluaran mereka turun.

 

Mengenai seruan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memboikot peniaga atau syarikat yang menjual dengan harga tinggi patut disambut baik pengguna.

 

“Sekiranya, di kawasan rumah tersebut ada kedai 1Malaysia maka pengguna boleh membeli barang di situ dibandingkan barang yang dijual di kedai runcit lain adalah mahal.

 

“Selain itu juga, jika harga barangan tempat jauh lebih murah, maka belilah barangan tempatan.

 

“Rakyat perlu gunakan kuasa mereka sebagai pengguna untuk mewujudkan desakan untuk peniaga menurunkan harga barangan mereka sekiranya tidak mahu terus menangung kerugian,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.