Remaja Maut Terpelanting Atas Bumbung Kedai Selepas Dilanggar

ALOR SETAR 4 Feb. – Seorang remaja maut akibat terpelanting ke atas bumbung sebuah kedai runcit selepas motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah kereta jenis BMW 328i dekat Tandop di sini, awal hari ini.

 

Mangsa, Mohd. Azrul Abd. Razak, 16, yang dalam perjalanan dari pusat bandar menghala ke Sungai Petani dikatakan gagal untuk membuat pusingan di Jalan Batu 3 di sini sebelum dilanggar kereta berkenaan dan terpelanting ke atas bumbung kedai yang terletak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian.

 

Pemilik kedai runcit tersebut, Shah Ali Mahmud, 43, berkata, kejadian itu disedarinya apabila melihat jiran dan orang ramai sedang cuba menurunkan mangsa dari atas bumbung kedai.

 

“Ketika itu, saya baharu pulang dari masjid selepas menunaikan solat subuh untuk memulakan perniagaan seawal pagi.

 

“Saya terkejut apabila melihat mayat mangsa sedang terbaring di atas bumbung kedai, ini merupakan kejadian pertama yang berlaku di kedai saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini.

 

Menurut Shah Ali, dia terpaksa memperbaiki kerosakan bumbung kedainya akibat kejadian yang langsung tidak pernah diduga itu.

 

Namun, dia bersyukur kerana kerosakan tersebut tidak menjejaskan perniagaannya.
“Saya hanya mengeluarkan modal sebanyak RM100 untuk me­­nukar bumbung yang baharu akibat kerosakan itu,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mangsa yang menunggang motosikal jenis Lagenda 115 ZR tersebut berasal dari Kampung Tengah Teluk Bagan.

 

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pemandu kenderaan BMW 328i itu telah tampil ke Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membantu siasatan dan punca kejadian masih disiasat,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.