Petaling Jaya Catat Kes Denggi Tertinggi Di Selangor

Daerah Petaling mencatatkan kes denggi paling tinggi di Selangor, melibatkan kehilangan 11 nyawa sejak Januari 2015, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

 

Katanya, sehingga minggu keempat tahun ini, sebanyak 6,686 kes denggi dilaporkan di Selangor.

 

“50% daripada jumlah tersebut ialah daripada Daerah Petaling dengan 3,212 kes dan 11 kematian,” katanya pada satu sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan di Shah Alam, hari ini.

 

Azmin berkata, disebabkan itu satu gerak kerja khas, Program Terjah dan Musnah Aedes, akan diadakan di kawasan panas sekitar daerah Petaling pada hujung minggu ini.

 

Kawasan itu melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam.

 

Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi, PBT dan jabatan kerajaan dalam menjalankan aktiviti pencegahan dan pemusnahan tempat pembiakan aedes pada 7 dan 8 Februari ini.

 

“Selain tiga PBT terbabit, kita juga mengarahkan semua PBT seluruh Selangor turun padang membantu membersihkan kawasan panas di daerah Petaling,” katanya.

 

Katanya, program itu akan menggunakan enam pendekatan, antaranya pembersihan di pangsapuri kos rendah, longkang, taman awam dan taman rekreasi.

 

Pemeriksaan juga akan dibuat di semua tapak binaan serta Kampung Baru Cina.

 

“Saya dan semua exco serta wakil rakyat akan bersama turun padang meninjau pada 7 Februari ini.

 

“Kita juga meminta masyarakat agar memastikan kebersihan dan menghapuskan tempat pembiakan bersama-sama kerajaan negeri,” katanya.

 

Pada Ogos tahun lepas, kes denggi di Selangor dilaporkan meningkat sehingga 338.05% dengan 29,972 kes direkodkan bermula Januari hingga 27 Julai 2014 berbanding 6,842 kes bagi tempoh sama tahun 2013.

 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes denggi itu antara lain disebabkan pembuangan sampah dan sisa pepejal tidak diselenggara dengan efektif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.