Pensyarah Kangkung Dan Rasa Bengang Kit Siang

Oleh: Bujang Paloi

 

Ada sebaris kata yang sering dituturkan, orang politik apabila dapat mikrofon, mereka akan bercakap macam “orang tak hengat”. Barangkali itulah kelebihan yang dikurniakan kepada manusia spesies ini, dan sememangnya mereka wajib petah bercakap. Bukan bijak dan pandai bercakap, tau.

 

Sebenarnya agak tersentuh juga apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang, seorang pemimpin pembangkang yang disegani kerana kelantangannya bersuara penuh semangat telah menempelak seorang pensyarah universiti.

 

Secara kebetulan pula pensyarah itu keturunan Melayu di sebuah universiti di utara tanah air. Keras kecaman dan lentingan beliau apabila menggelarkan pensyarah ini dengan panggilan “kangkung”.

 

Wajarkah panggilan itu? Bagi beliau mungkin ada kewajarannya. Tetapi biasanya, apabila kita membalas balik kritikan dan pandangan seseorang terhadap kita dengan kecaman balik yang bersifat peribadi dan label, ia menunjukkan kelemahan kita sendiri. Alangkah daifnya.

 

Bukan untuk mengajar ahli politik yang makan banyak garam politik, penuh pengalaman dan mengharung ribut politik tanah air sejak puluhan tahun. Rasanya, Kit Siang boleh menjawab dengan hujah-hujah, yakni berbahas atau berdebat secara matang dalam semangat keilmuan.

 

Persoalan yang tercetus ialah, apakah Ahli Parlimen Gelang Patah ini sudah hilang nilai sebagai orang Asia dan juga tidak menghayati erti demokrasi dan kebebasan bersuara. Menyedihkan sebenarnya beliau tidak boleh menerima komentar yang bertentangan dengan fahaman dan selera politik beliau.

 

Jika hari ini kita boleh melontar label-label sesedap hati terhadap orang, maka tunggulah label yang akan dilontarkan oleh orang lain terhadap kita.

 

Maka, sayugia ingin dinyatakan beliau bukanlah seorang pemimpin yang sesuai untuk rakyat Malaysia kerana dengan mengatakan “kangkung”, sebenanya, beliau mengajar rakyat Malaysia dengan nilai merendahkan orang lain yang tidak sealiran. Murnikah sifat ini?

 

Memang politik ada masanya tempo dan gerak lakunya amat ganas dan penuh intrig, Kawan menjadi musuh, musuh menjadi kawan, akan ada gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan sebagainya.

 

Sebagai seorang yang berpengalaman, Kit Siang harus menjaga lidahnya. Sebab, kalau mudah muda dan mentah politik yang cakap lepas, tidak menghairankan. Beliau banyak pengalaman dan sudah biasa dikritik dan dikecam.

 

Label beliau terhadap ahli akademik yang juga seorang penjawat awam dengan gelaran merendahkan integriti akademik menunjukkan betapa tidak matangnya Kit Siang terhadap hak demokratik akademik.

 

Jika beliau Penasihat DAP ini secara culas menggelar ahli akademik sebagai “kangkung” dan juga pelbagai gelaran yang boleh memburuk imej IPTA dan menjatuhkan air muka seseorang tokoh akademik, maka apakah beliau suka jika ada orang lain menggelarkan beliau sebagai ahli politik lapuk atau sebarang gelaran yang tidak sedap didengar?

 

Andainya, berlaku seumpama ini pada masa akan datang, maka wajar bagi beliau untuk bersabar dan bertenang. Perlihatlah kematangan sebagai ahli politik berpengalaman, sesuai dengan kedudukan sebagai penasihat. Penasihat selalunya orang yang bijak dan fokus, tidak melenting dan marah-marah.

 

Maka DAP harus mempertimbangkan supaya jawatan penasihat DAP yang disandang Kit Siang digantikan dengan individu yang lebih dinamik seperti Senator Ariffin Omar yang juga mantan Prof di IPTA sebelum ini.

 

Inilah masa terbaik untuk orang akademik dari DAP dilantik sebagai penasihat kepada DAP dan juga kepada Kit Siang sendiri. Ini cadangan sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.