Peniaga Maut, Anak Perempuan Parah Ditembak

Kuala Lumpur – Seorang peniaga maut manakala anak perempuannya parah selepas ditembak dalam satu kejadian samun yang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Beris Lalang petang tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, peniaga berkenaan Mustaffa Siddik, 52, terkena tembakan penjenayah terbabit pada bahagian perut dan lutut.

 

Manakala, anak perempunnya yang berusia 17 tahun pula cedera di bahagian peha dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

 

Difahamkan, suspek seramai tiga orang itu dipercayai melepaskan tiga das tembakan mengenai mangsa.

 

Dua daripada suspek terbabit memiliki senjata api manakala seorang lagi membawa sebilah parang.

 

Ibu kepada gadis tersebut bagaimanapun tidak dicederakan sebaliknya dia hanya digari.

 

Penjenayah telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Preve warna hitam dengan nombor pendaftaran CDC 4561.

 

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Abdul Hamid Che Ahmad ketika dihubungi The Rakyat Post mengesahkan tentang kejadian itu.

 

Katanya, polis kini sedang menyiasat kes tersebut dari pelbagai sudut termasuk senjata yang dimiliki oleh penjenayah.

 

“Kita akan dapatkan maklumat lanjut daripada mangsa sama ada mereka mengenali suspek dan sebagainya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.