Peneroka Haram Di Cameron Highland Sengaja Cabar Pihak Berkuasa

CAMERON HIGHLANDS 4 Feb. –Penerokaan haram yang terus berlaku di Cameron Highlands walaupun operasi penguatkuasaan giat dijalankan membuktikan golongan terlibat tidak gentar dengan pihak berkuasa.

 

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R. Ramakrishnan (gambar) yang mengakui perkara itu berkata, ini sekali gus mencabar pihak berkuasa untuk menegakkan undang-undang.

 

Untuk itu, beliau menggesa supaya jumlah anggota penguat kuasa yang terlibat dalam operasi di tanah tinggi ini ditambah.

 

Katanya, ini akan menampakkan lagi usaha serius kerajaan untuk membanteras kegiatan tersebut.

 

“Penerokaan terus berlaku kerana mereka menganggap walau siapa pun orang besar yang melawat kawasan ini, operasi penguatkuasaan hanya sementara.

 

“Apabila orang besar pulang, isu ini tidak akan lagi diperkatakan dan operasi penguatkuasaan tidak akan dijalankan seperti biasa.

 

“Sebab itu mereka ini berani kembali meneroka tanah secara haram,” katanya di sini hari ini.

 

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat kawasan ini meluahkan rasa dukacita dengan pencerobohan yang terus berlaku meskipun operasi penguatkuasaan giat dijalankan.

 

Beliau bimbang apabila pihak berkenaan begitu berani sehingga mencabar pihak berkuasa.

 

Sementara itu, menurut Ramakrishnan, penerokaan haram masih dilakukan namun dalam skala kecil melibatkan tanah berhampiran ladang sedia ada.

 

Untuk mengatasinya, beliau turut mencadangkan supaya operasi penguatkuasaan yang dijalankan bukan sahaja melibatkan pihak berkuasa tetapi disertai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Katanya, ini bagi memastikan tidak wujud perlakuan sogokan wang kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.