PAS Mahu Kerajaan Pastikan Keselamatan Sirul

Kuala Lumpur – PAS menggesa kerajaan agar memastikan keselamatan dua pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) yang di dapati bersalah bersalah dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata kerajaan perlu memberi jaminan keselamatan mereka agar misteri pembunuhan ini dapat dirungkai.

“Saya harap pihak kerajaan dapat memberikan mereka ‘kehidupan’, sama ada di dalam mahupun di luar negeri.

 

“Masyarakat berhak mengetahui perjalanan kes berprofil tinggi, apatah lagi ia membabitkan imej negara Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya pada satu sidang media pagi ini di ibu pejabat PAS.

 

Menurut Mahfuz lagi beliau berkeyakinan Sirul hanya melaksanakan arahan dan bukan atas kemahuan sendiri.

 

“Saya bimbang, ada pihak yang akan mengancam keselamatan Sirul di luar negara kerana saya berkeyakinan mereka (Sirul dan Azilah) buat (bunuh) hanya kerana menerima arahan.

 

“Ini kerana, pendedahan Sirul bakal membongkar kisah misteri di sebalik kes ini” katanya lagi.

 

Sementara itu, Mahfuz memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan konsulat Australia di Malaysia bagi mengetahui status Sirul yang ketika ini melarikan diri ke Australia.

 

Kedua-dua Sirul dan Azilah pada 13 Januari lalu diperintahkan menjalani hukuman yang dijatuhkan kepada mereka pada 2009, atas kesalahan membunuh model berusia 28 tahun itu pada 2006.

 

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ketika keputusan dibacakan dan berikutan itu, laporan berita mendedahkan dia ke Australia pada penghujung Oktober lalu.

 

Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria memerintahkan kedua-duanya digantung sampai mati, mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013, berhubung tuduhan membunuh Altantuya, yang juga kekasih kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.