Muhyiddin Hadir Jamuan Malam Raikan Pemilihan Esa Mohamed

Kuala Lumpur – Timbalan Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadir majlis jamuan malam anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini Rabu.

 

Majlis jamuan itu diadakan bagi meraikan pemilihan bekas Presiden PAM Tan Sri Esa Mohamed sebagai Presiden Kesatuan Antarabangsa Arkitek (UIA).

 

Presiden PAM Chan Seong Aun dalam ucapan alu-aluannya berkata pemilihan Esa untuk memimpin sebuah badan antarabangsa merupakan pencapaian terbesar bagi warga arkitek di Malaysia.

 

“Sebagai presiden, beliau berpeluang untuk mempromosikan arkitek Malaysia kepada dunia dan mempamerkan apa yang kita mampu lakukan,” kata beliau.

 

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

 

Esa ialah arkitek Asia yang pertama dipilih sebagai Presiden UIA. Beliau akan menyandang jawatan itu untuk penggal 2014-2017.

 

Berpusat di Paris, Perancis, UIA mewakili lebih satu juta arkitek di seluruh dunia.

 

Sebagai arkitek dan perancang bandar, Esa terlibat dalam banyak projek pembangunan tempatan termasuk pusat pentadbiran negara, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mid Valley City, KLCC dan Hospital Sungai Buloh serta beberapa projek di luar negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.