Malaysia Kutuk Tindakan IS Bakar Juruterbang Jordan

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Malaysia mengutuk sekerasnya tindakan kejam kumpulan militan Negara Islam (IS) yang membakar hidup-hidup juruterbang Jordan, Muath al-Kassasbeh.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perilaku kejam IS dalam memberi layanan kepada tahanan mereka adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

 

“Cukup kejam (membakar hidup-hidup), tidak menggambarkan ajaran Islam yang sebenar dan tidak mewakili umat Islam,” kecamnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Terdahulu Hishammuddin menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Wisma Kementerian Pertahanan.

 

Kumpulan IS semalam memuat naik rakaman video Muath dibakar hidup-hidup dalam sebuah sangkar besi, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat dunia yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai sangat kejam dan tidak bertamadun.

 

Kejadian malang itu berlaku hanya berselang tiga hari selepas wartawan Jepun, Kenji Goto, dilaporkan dipenggal kepalanya oleh kumpulan militan ber­kenaan.

 

Dalam pada itu, Hishammu­ddin mengulangi jaminan bahawa ancaman kumpulan IS di negara ini adalah terkawal dan pihak keselamatan tidak akan membenarkan sebarang unsur militan bertapak di Malaysia.

 

Katanya, Malaysia juga sedang bekerjasama dengan semua negara ASEAN untuk menangani ancaman militan secara bersama, kerana dalam menangani isu berkenaan pencegahan adalah lebih penting.

 

“Sebab itu kita di peringkat ATM dan polis telah menunjukkan komitmen terutamanya kepada rakyat Sabah. Pihak perisikan sudah melakukan apa yang sepatutnya,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.