Majikan Di Cameron Highland Sorok PATI?

Selain penerokaan haram yang masih berlaku di Cameron Highlands, jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) di tanah tinggi ini turut dipercayai masih tinggi.

 

Kelibat mereka di tempat tum-puan awam sudah jauh berkurangan selepas operasi menggempur dijalankan, namun dipercayai masih ramai disembunyikan oleh majikan.

 

Sumber memberitahu, majikan bertindak menyembunyikan PATI di kawasan jauh dari ladang setiap kali operasi pihak berkuasa dan mereka akan kembali bekerja seperti biasa setelah pemeriksaan dokumen selesai.

 

“Inilah taktik majikan di sini. Mereka mempunyai maklumat apabila operasi penguatkuasaan akan dijalankan dan segera menyembunyikan PATI jauh dari ladang mereka.

 

“Pekerja asing yang memiliki permit akan terus bekerja seperti biasa. Jadi apabila diperiksa, semua pekerja asing ini mempunyai permit.

 

“Setelah operasi pemeriksaan tamat, PATI ini akan keluar dari tempat persembunyian dan kembali ke ladang untuk bekerja,” kata sumber berkenaan.

 

Menurutnya, majikan terpaksa berbuat demikian kerana mereka memerlukan tenaga kerja di ladang mereka.

 

Dalam pada itu, sumber tersebut juga percaya ada PATI yang berjaya melarikan diri atau dibawa keluar dari tanah tinggi di sini walaupun pihak berkuasa membuat sekatan jalan raya di semua laluan keluar masuk ke sini.

 

Katanya, dipercayai PATI ini melarikan diri menggunakan laluan denai tidak jauh dari tempat sekatan jalan raya.

 

“Mereka ini mungkin keluar menggunakan jalan di dalam hutan melintasi kawasan sekatan jalan raya. Setelah melepasi kawasan tersebut, PATI ini mungkin menaiki kenderaan yang sedia menunggu mereka,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.