Mahfuz Omar Setuju Dengan Tun M, Ismail Sabri Tidak Berhati-Hati

Kuala Lumpur – “Saya setuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa mungkin Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri Yaakob, tidak berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan,”.

 

Demikian reaksi Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar berhubung kenyataan Tun Mahathir yang kurang bersetuju dengan ‘cara’ Ismail Sabri untuk memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang.

 

Mahfuz berkata, kenyataan ismail sangat tidak berhati-hati, walaupun beliau telah menafikan bahawa beliau menyeru supaya masyarakat memboikot peniaga dan pemborong Cina.

 

“Sebab itu saya nasihat pada Ismail Sabri supaya fikir dahulu sebelum keluarkan kenyataan seperti ini,” katanya ketika sidang medianya di Ibu Pejabat Pas hari ini.

 

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau setuju untuk menggunakan kaedah ‘kuasa pengguna’ namun biarlah kena dengan caranya.

 

“Bagi saya kalau hendak boikot kita memang setuju tetapi jangan bagi gambaran fakta yang tidak betul,” jelasnya.

 

Terdahulu bekas Perdana Menteri tidak bersetuju dengan cadangan Ismail Sabri supaya memboikot peniaga dan pemborong Cina yang majoritinya memegang sumber bekalan dalam pasaran.

 

“Ini bukan soal Cina (atau) Melayu, ini soal barang. Barang yang harga naik itu bukan sahaja dijual oleh Cina. Barang yang dijual Melayu juga ada yang tidak turun harga,” kata beliau.

 

Dr Mahathir turut menasihati seseorang menteri supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

 

Ismail Sabri sebelum ini dalam satu kenyataan di Facebooknya menyeru supaya pengguna memboikot peniaga dan pemborong Cina yang enggan menurunkan harga barang walaupun kerajaan telah menurunkan harga minyak. – SH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.