Kertas Kajian Tarif Elektrik Diperhalusi

ALOR SETAR – Satu kertas kajian mengenai jumlah sebenar penjimatan kos terkini penjanaan elektrik yang boleh dilepaskan sedang disiapkan untuk dibincangkan oleh jemaah Menteri, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Mahdzir Khalid.

 

Beliau berkata, kertas kajian itu sedang disiapkan KeTHHA, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

“Kertas kajian itu akan diserahkan untuk pertimbangan jemaah menteri secepat mungkin. Segala-galanya bergantung kepada jemaah menteri,” katanya kepada  pemberita selepas menghadiri majlis Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena hari ini.

 

Beliau berkata, penurunan harga minyak pada ketika ini tidak banyak memberi kesan kepada kos penjanaan elektrik kerana 55 peratus daripada loji janakuasa di Semenanjung menggunakan gas dan gas asli cecair (LNG).

 

Menurut Mahdzir, selain menggunakan gas dan LNG, loji-loji janakuasa di negara ini menggunakan arang batu, kuasa hidro dan tenaga diperbaharui seperti biomass, solar dan lain-lain.

 

“Di dalam komponen bahan bakar untuk penjanaan elektrik (di loji-loji janakuasa), minyak tiada,” katanya dan menambah, KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga serta TNB akan melakukan kajian terbabit dengan teliti merangkumi pelbagai aspek serta perkara.

 

Jawatankuasa bagi menyiapkan kertas kajian itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Loo Took Gee.

 

Menurut Mahdzir, harga pasaran bagi gas  yang dibeli oleh TNB dan pengeluar tenaga bebas (IPP) adalah pada RM38 per-MMBTU (sejuta metrik unit termal British), sebelum disubsidi oleh kerajaan pada  harga RM15.20 MMBTU.

 

Kadar harga pasaran LNG adalah pada RM46 MMBTU, katanya.

 

“Jikalau kita mengambil harga gas RM38 MMBTU tanpa subsidi daripada kerajaan, tarif elektrik sudah tentu lebih tinggi berbanding ketika ini,” katanya.

 

Mengenai  sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena tahun ini, beliau yang juga merupakan bekas pelajar sekolah itu berkata,  pelbagaiacara sedang dirangka bagi meraikan sambutan itu.

 

Sekolah itu ditubuhkan pada 1965. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.