Jelajah Anwar ‘Rakyat Hakim Negara’ Adalah Perbuatan Tidak Sihat – Ibrahim Ali

Kuala Lumpur – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan program jelajah Rakyat Hakim Negara yang sedang berlangsung di seluruh negara bagi meraih sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perbuatan tidak sihat dan menghina mahkamah.

 

Menurut Ibrahim, Anwar tidak bertanggungjawab kerana menjalankan kempen yang mengatakan ‘dia tidak bersalah’ dan ‘rakyat jadi hakim’.

 

“Ini soal perundangan dan bukannya politik. Anwar dan sekutunya yang mengambil bahagian dalam menyampaikan ucapan boleh disifatkan menghina mahkamah. Apa istimewanya Anwar ini?” tanya Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ibrahim turut menyatakan bahawa Anwar seolah-olah tidak boleh disentuh atau didakwa. Jika berlaku sedemikian terhadapnya, kata Ibrahim, dengan cepat ia dicanang sebagai konspirasi untuk menjatuhkannya.

 

“Dari dulu dia canang propaganda ini. Orang semua zalim tapi dia saja yang baik. Anwar juga manusia biasa. Macam mana keluhuran undang-undang boleh diperkasakan jika ada manusia macam Anwar ini?

 

“Saya merayu kepada rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan kempen Rakyat Hakim Negara demi kedaulatan undang-undang dan keamanan negara.

 

“Kalau berlaku perkara-perkara yang tidak baik, rakyat akan jadi mangsa. Semua mahu Malaysia dan rakyatnya selamat,” kata Ibrahim.

 

Tambah pemimpin vokal NGO Melayu itu, puak yang mencabar sistem kehakiman dan pihak keselamatan adalah golongan ekstremis dan ganas.

 

“Marilah sama-sama kita mendirikan solat hajat memohon pada Allah akan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara kita Malaysia yang tercinta.

 

Ibrahim dalam kenyataannya turut menggunakan sebaris ayat popular dari Shakespeare iaitu ‘Not that I love Caesar less but I love Rome more’. Ia merujuk pada situasi seseorang yang harus diketepikan kepentingannya kerana ada sebab yang lebih besar dan patriotik.

 

“Kepada penyokong-penyokong Anwar, sayanglah Malaysia dan hormatilah undang-undang negara. Kasih atau simpati pada Anwar biarlah bertempat.

 

“Ibarat nila yang merosak susu sebelanga atau seekor kerbau membawa lumpur, semua orang jadi susah, buat apa? Ini prinsip hidup yang tidak betul,” kata Ibrahim. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.