Haram Makan Ulat Sagu – Mufti Sarawak

Kuching – Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) mengumumkan secara rasmi bahawa ulat sagu atau lebih dikenali sebagai ulat mulong di kalangan masyarakat Sarawak adalah haram dan dilarang dalam Islam.

 

Mufti Negeri Sarawak, Datuk Kipli Yassin menasihatkan dan menegah umat Islam di negeri itu memakan ulat sagu itu dan mengetahui perkara berkaitan keputusan fatwa itu agar tidak terkeliru lagi di masa akan datang.

 

Selain itu, beliau juga menegah umat Islam di negeri itu mengambil bahagian dalam acara ritual ‘miring dan kaul.

 

“Bagi umat Islam, mereka tidak boleh menjalankan upacara ‘miring’ atau mengikut ritual semasa Pesta Kaul kerana ia ada melibatkan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

 

“Maksudnya di sini, orang bukan Islam tetap boleh meneruskan upacara tersebut tetapi orang Islam tidak sepatutnya melibatkan diri,” katanya.

 

Bagaimanapun, tiada masalah bagi umat Islam menghadiri upacara tersebut. Tetapi dilarang untuk memuja hantu dan melakukan sebarang bentuk pemujaan.

 

Mengulas mengenai ulat sagu, keputusan fatwa yang melarang umat Islam memakannya telah lama dibuat. Ulat sagu telah ditetapkan sebagai sejenis ulat dan dalam hukum fiqah, semua ulat tidak boleh dimakan kerana dianggap sebagai suatu yang jijik dalam Islam.

 

“Namun, ingin ditegaskan bahawa kita bukan menghalang masyarakat bukan Islam untuk memakannya dan kita tidak mengganggu budaya mereka. Kita ada hukum agama masing-masing dan itu yang perlu diambil perhatian,” jelasnya.

 

Namun begitu, berbeza dengan ulat mulong, kejumah (temilok) boleh dimakan, jelasnya.

 

“Satu lagi ramai yang masyarakat tidak tahu ialah keputusan fatwa membenarkan temilok dimakan oleh orang Islam kerana kita telah mengkaji ia bukan hidupan dua alam.

 

“Salah satu syarat makanan haram ialah kita tidak boleh memakan binatang dua alam dan ia tiada najis dan sebagainya. Hukumnya ‘harus’ dimakan,” tambah Kipli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.