Eric Paulsen Didakwa Hari Ini

Kuala Lumpur – Pengarah Eksekutif Lawyer for Liberty, Eric Paulsen akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta hari ini ekoran kenyataannya sebelum ini yang menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi fahaman ekstremis.

 

Peguam berkenaan dijangka didakwa di bawah Akta Hasutan 1948  selepas sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

 

Paulsen turut mengesahkan perkara tersebut apabila memuatnaik status di laman Twitternya.

 

“Saya akan didakwa menghasut pagi esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya dalam posting di laman Twitter miliknya semalam.

 

Paulsen sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengatakan bahawa Jakim merupakan sebuah badan yang mempromosi atau menggalakkan ekstremisme dalam khutbah pada hari Jumaat.

 

Namun begitu, setelah menerima kecaman pelbagai pihak, beliau tampil menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk menghina Islam dengan mengaitkan Jakim dengan penyebaran fahaman ekstrem.

 

Malah kata Paulsen, beliau merujuk kepada Jakim sebagai sebuah agensi kerajaan.

 

Pada 12 Januari lalu, Paulsen ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

 

Beliau kemudiannya dibebaskan pada 14 Januari dengan jaminan polis selepas direman selama dua hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.