Boikot Air Mineral Yang Dijual Melebihi RM1

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan boikot terhadap sebarang jenama air mineral di dalam negara ini yang dijual melebihi RM1.

 

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata pengguna perlu menggunakan kuasa mereka dalam menentukan harga barangan berikutan harga minyak yang telah diturunkan sekarang.

 

Menurutnya, kos pengeluaran maksimum sebuah air mineral hanya RM0.512, namun apabila dijual kepada pengguna, ianya boleh mencecah kepada RM 1.20 hingga RM24 bagi 500 ml.

 

“Harga ini tidak munasabah dan sebagai pengguna kita harus bersatu untuk memboikot air mineral yang dijual melebihi harga yang sepatutnya,” katanya pada sidang media di pejabat PPIM di sini, hari ini.

 

Nadzim berkata, persatuan tersebut telah menubuhkan jawatankuasa kajian pengguna dan mengenal pasti produk Spritzer yang dijual di stesen minyak Petronas pada harga RM1.20 hingga RM1.50 bagi 500 ml.

 

Menurutnya, PPIM bersama lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) akan memboikot jenama tersebut dan sebarang jenama yang menjual dengan harga yang tidak sepatutnya.

 

“Kami menyedari ada perkara yang tidak betul mengenai Petronas dan Spritzer kerana hanya jenama itu sahaja yang dijual di stesen minyak itu termasuk Cactus dan Mesra.

 

“Kami pelik dengan Petronas yang menjual harga air mineral lebih mahal daripada harga minyak dan adalah lebih banyak keuntungan mereka menjual air mineral daripada menjual minyak,” katanya.

 

Nadzim turut mencadangkan kerajaan menyediakan harga siling untuk air mineral dengan harga RM1 kerana air mudah didapati.

 

Menurutnya, usaha boikot ini akan diteruskan dalam masa tiga bulan dari sekarang dan sudah tiba masanya pengguna bersatu untuk menentukan harga yang sepatutnya dibayar.

 

“Ini masanya pengguna bangkit menyuarakan hak dan pengeluar perlu hormat kepada pengguna,” katanya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.