‘Baik Minum Petrol Dari Milo Ais, Lagi Murah’

Kuala Lumpur – “Kalau boleh minum, dah lama saya minum petrol daripada milo ais. Lagi murah,” kata Azhar Adnan, 46.

 

Azhar yang bekerja sebagai pekerja kilang kecewa dengan sikap peniaga yang enggan menurunkan harga barang.

 

Katanya, kerajaan perlu berkeras terhadap peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan walaupun harga petrol turun.

 

pengguna 1

“Bila kita tanya peniaga-peniaga ini, mereka beri alasan mereka mendapat bekalan dengan harga mahal.

 

“Dulu mereka bagi alasan harga petrol naik jadi mereka terpaksa menaikkan harga makanan tetapi harga petrol sudah turun sekarang.

 

“Persoalannya, mengapa mereka masih mengekalkan harga makanan ketika harga petrol RM2.70 dulu,” soalnya.

 

Md Diah Abu Shah, 54 pula berpendapat kerajaan perlu membuat pemantauan lebih kerap dan bukannya berkala.

 

Menurut Md Diah, ada peniaga yang menurunkan harga bila pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan tetapi kemudian berlaku kenaikan semula bila tidak ada pemantauan.

 

Md Diah yang bekerja sendiri mencadangkan Persatuan Restoran-restoran Mamak menyelaraskan harga makanan dan minuman di setiap restoran ahli mereka.

 

pengguna 2

“Biasanya orang melepak di kedai-kedai mamak. Mereka ini ada persatuan dan rangkaian, jadi mereka kena selaraskan harga makanan mereka.

 

“Dari situ kita dapat kesan mana kedai yang jual mahal.

 

“Kalau mereka boleh buat, saya yakin kedai-kedai lain akan ikut dan tidak berani jual mahal takut pelanggan lari,” katanya.

 

Turut sependapat, Pegawai Pemasaran Md Sarif Daud, 45, mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjalankan tanggungjawab dengan lebih efisien.

 

Kata Sarif, rakyat telah beri peluang kepada kerajaan sedia ada untuk memerintah dan seharusnya mereka berjuang untuk rakyat.

 

pengguna 3

“KPDNKK kena turun padang pantau harga barang secara berterusan bukan ketika waktu perayaan sahaja.

 

“Kita sudah ada agensi yang bertanggungjawab untuk buat kerja, jadi mereka kena kerjalah. Takkan hendak tunggu rakyat bising,” katanya.

 

Beliau juga meminta media turut memainkan peranan mendesak kerajaan menguatkuasa undang-undang.

 

“Suara rakyat sahaja tidak kuat, media juga kena bantu sama,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.