Azad & Eira Ada Bukti Pesanan Suara

Ekoran dakwaan melakukan penipu­an ke atas pelabur menerusi satu perniagaan sehingga melarikan wang sebanyak RM200,000, pasangan selebriti, Eira Syazira, 31 dan suaminya, Azad Jazmin, 39, membuat laporan polis terhadap pemilik syarikat Rania Marketing, Datin Muniroh Kasim, 54, dan Datuk Suhaimy Othman, 58, atas dakwaan memfitnah.

 

Azad dan Eira menjelaskan laporan tersebut dibuat di Balai Polis Puchong, Selangor, semalam.

 

“Hari ini kami tampil membersihkan nama kami atas fitnah yang dibuat pemilik Rania Marketing. Kami telah membuat laporan polis dan tindakan selanjutnya akan diambil,” kata Azad kepada media, semalam.

 

Hadir sama pada sidang media itu, seramai 20 pelabur turut mendakwa diri mereka menjadi mangsa yang dianiayai pemilik Rania Marketing.

 

Sementara itu, Azad menyatakan dia terpanggil menyertai Rania Marketing pada Mei tahun lalu kerana objektif perniagaan tersebut ialah mahu membantu menjana pendapatan dalam kalangan masyarakat Melayu.

 

Malah, dia bertanggungjawab terhadap lebih 800 pelabur menyedari perniagaan tersebut tidak memberi pulangan seperti yang dijanjikan apabila dia bersama pelabur berasa ditipu.

 

“Pada awalnya syarikat berkenaan tidak menggunakan sistem ‘flushing’ (makan hasil titik peluh orang) tetapi selepas dilancarkan pada pada Disember tahun lalu, tiba-tiba pemilik syarikat maklumkan pada kami semua yang syarikat mengamalkan sistem ‘flushing’.

 

“Kami semua tidak bersetuju. Lebih mengecewakan ramai pelabur yang tidak mendapat bonus seperti yang dijanjikan,” katanya.

 

Katanya, atas rasa tanggungjawab terhadap pelabur, dia berusaha menyelesaikan masalah berkenaan menerusi perjumpaan bersama pemilik syarikat berkenaan tetapi gagal.

 

“Banyak kali saya turun naik pejabat, kali terakhir kami pergi pada Januari lalu dan beliau masih tidak munculkan diri.

 

“Selama ini saya tidak pernah mengambil duit terus daripada prospek atau meminta mereka memasukkan ke dalam akaun saya. Semua duit dimasukkan ke dalam akaun syarikat.

 

“Bagaimana mereka menuduh saya mengambil duit pelabur apatah lagi pada tahun lalu saya dianugerahkan ikon Rania Marketing. Kalau saya ambil duit orang, macam mana saya boleh dapat anugerah itu?,” tegasnya sambil menyatakan dia secara rasmi keluar daripada syarikat berkenaan sejak 7 Januari lalu.

 

Selain itu, Azad dan Eira juga tampil dengan bukti iaitu pesanan suara daripada pemilik syarikat Rania iaitu Suhaimi yang tidak mengambil kisah tentang perniagaan dan pelabur-pelabur yang terlibat dengan Rania Marketing.

 

“Saya ada menghantar pesanan suara kepadanya (Suhaimi) menyatakan kekecewaan saya terhadap hasil perniagaan ini tetapi beliau membalas dengan nada yang sangat kasar dan mengaku beliau tidak mahu ambil peduli tentang masalah dan rasa ketidakpuashatian pelabur lain,” katanya. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.