Anwar Pertikai Kewibawaan Mahkamah Persekutuan?

Kuala Lumpur – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi cuba mempertikaikan kewibawaan Mahkamah Persekutuan yang bakal memberikan keputusan sama ada untuk mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya di atas tuduhan meliwat.

 

Bercakap kepada Kelab Wartawan Asing Malaysia, Anwar berkata kerajaan akan menanggung kemarahan rakyat jika beliau disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya pada tahun 2008.

 

Ditanya sama ada sokongan untuk pembangkang akan bertambah sekiranya beliau dipenjarakan, Anwar menjawab “Pada hemat saya, sudah tentu.”

 

“Sejarah membuktikan usaha untuk menganiaya musuh politik akan membawa natijah sebaliknya. Adakah (keputusan untuk penjarakan saya) menambah rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dan menambah sokongan untuk pembangkang? Saya percaya itulah yang akan berlaku,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh.

 

Mahkamah Persekutuan menetapkan Selasa depan untuk memberi keputusan terhada rayuan Anwar membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Saiful Bukhari Azlan.

 

Anwar sekian lama mendakwa tuduhan liwat terhadap beliau adalah sebahagian daripada konspirasi politik oleh pemimpin kerajaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

 

Barisan Nasional menafikan tuduhan itu dan menegaskan badan kehakiman bertindak secara professional dan tanpa campurtangan kerajaan.

 

Pemimpin-pemimpin kerajaan sering merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah yang banyak memihak kepada pembangkang termasuk Anwar sendiri, khususnya dalam saman-saman fitnah.

 

Dalam perjumpaan dengan wartawan asing, Anwar berkata beliau “optimistik namun dalam keadaan waspada” bahawa rayuannya akan berjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.