Ancaman Bunuh Menteri

Georgetown – Pemuda Perkasa membuat laporan polis berhubung tindakan sekumpulan individu yang memuat naik status berbaur ancaman dan ugutan bunuh melibatkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ketuanya, Mohd Rizuad Mohd Azudin berkata, status yang ditulis dalam bahasa Cina itu dianggap keterlaluan dan boleh menjejaskan perpaduan dalam negara.

 

“Kami menyedari status ini di dalam Facebook semalam dan mahu polis dan Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

 

“Ancaman ini terlalu serius dan perlu diambil tindakan segera,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

 

Rizuad berkata, salah satu komen dalam Facebook itu adalah ‘Melayu bodoh’.

 

Menurutnya, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu ini kerana mengeluarkan perkataan yang bersifat perkauman.

 

Pemuda Perkasa turut memberi sokongan kepada kenyataan Ismail Sabri dan menyifatkan kenyataan itu tidak menumpukan kepada peniaga berbangsa Cina tetapi kepada semua peniaga dari pelbagai kaum.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Abdul Rahman Ahmad ketika dihubungi mengesahkan laporan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.