Al-Rajhi Bank Terima Suntikan Modal RM500j

WALAUPUN berhadapan ekonomi Malaysia yang tidak menentu, syarikat induk Al-Rajhi Bank (Al-Rajhi) yang berpangkalan di Arab Saudi tetap yakin dengan pertumbuhan perniagaan bank itu di negara ini.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Al-Rajhi Malaysia, Selamat Sirat berkata, Arab Saudi peka dengan perkembangan ekonomi negara sekarang dan akan terus menyokong bagi membantu pertumbuhan perniagaan di negara ini.

 

“Ia terbukti dengan suntikan modal RM500 juta daripada Al-Rajhi di Arab Saudi, “ katanya selepas pelancaran produk banca takaful i-Great Raudhah dan i-Great Bakti, di Kuala Lumpur, semalam.

 

Al-Rajhi merancang mengembangkan perniagaan dengan peruntukkan RM500 juta daripada syarikat induk sepanjang 2015 bagi menstrukturkan rangkaian perniagaannya.

 

Mengulas berhubung pengenalan produk itu, Selamat berkata, syarikatnya yakin produk itu akan menyumbang  RM15 juta kepada perolehan syarikat sepanjang 2015.

 

Pada masa sama katanya, bank berkenaan berharap mencapai 6,000 pemegang polisi dalam tempoh itu.

 

Selamat berkata, Al-Rajhi juga yakin produk takaful daripada syarikat itu akan menyumbang 20 peratus kepada pendapatan berasaskan yuran bagi tahun ini.

 

Produk perlindungan berasaskan syariah itu merupakan produk pertama dengan kerjasama Great Eastern Takaful. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.