15 Kenderaan Terbabit Kemalangan

Kuala Lumpur – Sekurang-kurangnya tujuh buah daripada 15 kenderaan mengalami kerosakan teruk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tuanku Abdul Halim menghala ke pusat bandar raya sebelum susuk masuk ke Istana petang tadi.

 

Kejadian jam 3.30 petang itu berpunca apabila sebuah lori membawa muatan tanah dikatakan hilang kawalan semasa menuruni jalan berbukit di kawasan berkenaan ekoran masalah yang berlaku pada gandarnya.

 

Sumber polis trafik Kuala Lumpur memberitahu, pemandu lori tanah terbabit telah merempuh sebuah kereta jenis Kia Forte yang dinaiki oleh pasangan remaja sebelum kereta itu berpusing dan merempuh beberapa lagi kenderaan lain yang berada di hadapannya.

 

Menurut sumber itu, sebuah lagi kereta jenis Kia Forte dinaiki satu keluarga yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan merempuh belakang kereta pasangan remaja itu sebelum terhenti di tengah jalan.
“Kejadian itu juga telah menyebabkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Harrier yang melalui kawasan itu gagal mengelak dan merempuh sebelum terbalik di lorong paling kanan,” ujarnya.

 

Siasatan awal polis trafik mendapati, sekurang-kurangnya 15 buah kenderaan terbabit dalam kemalangan itu dan hanya tujuh buah kenderaan sahaja yang disahkan mengalami kerosakan teruk.

 

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu serta kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.