Waytha Moorthy Antara Menteri Minta Ubah Keputusan Bedah Siasat Adib

KUALA LUMPUR – Beberapa menteri didakwa telah meminta agar keputusan bedah siasat allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diubah. 

Kata anggota Majlis tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam antara menteri yang bertindak demikian adalah P. Waytha Moorthy yang mahu kematian anggota bomba itu diklasifikasikan sebagai kemalangan.

“Beberapa individu dalam kabinet, antaranya Waythamoorthy, telah meminta supaya laporan ini dipalsukan dan ditukar menjadi Adib meninggal dunia kerana accident ataupun dilanggar kenderaaan.

“Adakah saudara-saudara nak membenarkan perkara ini berlaku di negara kita?” Soalnya kepada kira-kira 100 orang yang hadir pada protes yang diadakan malam tadi bagi membantah kerajaan yang didakwa gagal bertindak terhadap individu yang didakwa membunuh Adib.

Ketika ditanya wartawan kemudian, Lokman memberitahu selain Waythamoorthy, beliau dimaklumkan beberapa “menteri India” terlibat dalam komplot menutup kes itu.

“Mereka bimbang dapatan bahawa Adib telah dibunuh akibat daripada dipukul akan menyebabkan rusuhan kaum.

“Jadi kita nak beritahu rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu kita adalah orang yang rasional.

“Kita tak mudah buat rusuhan. Yang jahat ni tiga empat orang ni,  kalau empat orang ni sudah didakwa di mahkamah kerana cubaan membunuh, memadailah empat orang ini dihadapkan ke mahkamah kerana membunuh,” katanya.

Lokman bekata pihak polis sebelum ini menyatakan bahawa Adib telah diserang dan empat individu disiasat kerana cubaan membunuh.

Polis juga katanya telah memohon daripada jabatan peguam negara (AG) agar kes itu ditukar daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ini sebenarnya yang patut berlaku dan AG sepatutnya membenarkan dan meluluskan permohonan pihak polis,” katanya.

Bagaimanapun beliau mendakwa Peguam Negara, Tommy Thomas mengarahkan inkues dilakukan terhadap kematian Adib selepas berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dan dengan persetujuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Ini bermakna orang yang sudah ditangkap dan sudah didakwa di mahkamah di bawah cubaan membunuh,  sekarang orang ini ada cukup masa untuk melarikan diri ke mana-mana negara yang mengharamkan hukuman mati,” katanya.

Lokman juga mendesak kerajaan mendedahkan laporan bedah siasat sebenar terdahap allahyarham.

Adib, 24, cedera parah selepas dikatakan diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.