Sudah Jadi Kerajaan Tapi Masih Berperangai Pembangkang, UMNO Tempelak Khalid Samad

SHAH ALAM – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad memang tidak ‘lekang’ dengan kontroversi apabila beliau sekali lagi mengundang kecaman daripada pembangkang mahupun netizen. 

Terbaharu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH ditempelak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana mengeluarkan kenyataan memperlekeh usaha kerajaan terdahulu yang dakwanya langsung tidak berniat membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Kenyataan Khalid itu susulan pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mengenai penurunan harga minyak.

“Harga minyak RON 95 dan Diesel dah turun. Insyallah menyumbang ke arah menurunkan kos barang dan kos kehidupan rakyat. Satu per satu kita uruskan. Memang ada niat dan usaha ke arah itu semua, tidak seperti kerajaan BN dulu. Niat pun takde apa tah lagi usaha,” tulis Khalid di Twitter.

Membalas ciapan (tweet) Khalid itu, Asyraf menempelak pemimpin AMANAH tersebut yang katanya masih berperangai seperti pembangkang meskipun sudah menjadi kerajaan. 

“Sudah jadi Kerajaan dan Menteri masih berfikiran dan berperangai Pembangkang. Buat kerja sahajalah YB, rakyat di bawah amat sengsara dengan kos sara hidup yang makin menekan. Tidak sebagaimana yang dijanjikan bulan dan bintang dalam Manifesto PRU14 Pakatan Harapan,” tulis Asyraf di Facebook.

Asyraf menambah, rakyat akan menjadi saksi sama ada apa yang dikatakan oleh Khalid bahawa penurunan harga minyak akan disusuli penurunan harga barang itu akan dikotakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

“Apa-apapun harap semua simpan screenshot ini supaya boleh kita nilai sama ada benar atau tidak apa yang dikata,” tulis Asyraf lagi.

Selain Asyraf, bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin juga menyindir kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam itu.

“Pure class,” Khairy menulis di Twitter, menyindir Khalid secara sarkastik.

Dalam pada itu, netizen juga mengecam Khalid kerana sering mengaitkan BN walaupun PH sudah menjadi kerajaan.

Malah tidak kurang juga ‘menasihati’ Khalid supaya menumpukan kepada tugas dan portfolio sendiri berbanding membangkitkan isu kerajaan terdahulu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.