VIDEO: Kekecewaan Rakyat Kepada PH Kelebihan Untuk BN Di Cameron Highland – Najib

KUALA LUMPUR – Kekecewaan rakyat terhadap kegagalan Pakatan Harapan menunaikan janji-janji mereka sebelum pilihan raya umum yang lalu memberikan kelebihan dan reaksi positif kepada Barisan Nasional (BN).

Namun kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak parti itu perlu bersungguh-sungguh menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland pada 26 Januari ini. 

 “Kita mesti dapat melakukan kerja-kerja pilihan raya yang bersungguh-sungguhlah sebab kawasan itu kawasan pedalaman yang sukar tapi saya percaya kalau kita (BN) semua bersemangat BN boleh pertahankan kerusi Cameron Highland insyallah.

“Berdasarkan pada banyak kekecewaan hari ini dengan mereka tidak dapat tunaikan janji-janji, ada kesan sedikit sebanyak dari sudut sikap rakyat,” katanya kepada pemberita. 

Menurut beliau lagi  Pakatan Harapan semenjak mentadbir tidak meneruskan projek-projek pembangunan untuk orang asli di Cameron Highland khususnya. 

Tindakan tidak memberikan peruntukan kepada golongan orang asli kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakibatkan kebanyakan projek pembangunan yang telah dilancarkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini demi masyarakat itu tidak dapat dilaksanakan.

“Kita melakukan banyak perkara dan masalahnya mereka tak sediakan peruntukan dalam Bajet 2019 untuk masyarakat orang asli.

“Banyak juga projek-projek untuk orang asli yang tidak diteruskan saya sendiri melancarkan projek pendapatan semula di Cameron Highland masa tahun sudah.

“Saya tengok rumah-rumah itu cukup selesa untuk orang Asli tapi cabaran memajukan orang asli memang banyak sebab perkampungan mereka itu bertaburan dan kecil perhubungan tu jauh dan kos pembangunan tinggi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditanya dakwaan veteran DAP Lim Kit Siang bahawa BN sebelum ini gagal menjaga kebajikan orang asli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Disember lalu mengesahkan Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh tidak layak untuk bertanding sebagai calon BN untuk PRK Cameron Highlands.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, memutuskan perkara itu selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya bertarikh 30 November 2018 dan Perakuan Hakim Pilihan Raya mengikut Seksyen 36(2)(a) dan Laporan Hakim Pilihan Raya mengikut Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertarikh 13 Disember 2018.

Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya (Akta 5), Sivarraajh tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya dan tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya.

Kerusi Parlimen itu dimenangi Sivarraajh yang memperoleh 10,307 undi, menewaskan Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan semula bekas calonnya di Parlimen Cameron Highlands dalam PRU-14 yang lalu untuk dipertandingkan pada PRK nanti. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.