Imam Yang Dipecat Perlu Terima Keputusan Secara Baik – Raja Muda Perlis

KUALA LUMPUR- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua imam yang ditamatkan perkhidmatan mereka Selasa lalu, menerima keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Isitadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan hati terbuka.

Kata baginda, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan sebarang salah sangka terhadap keputusan MAIPs hendaklah dielak kerana tiada pihak mendapat manfaat daripadanya.

“Berhubung perkembangan semasa berkaitan perubahan urus tadbir di masjid negeri Perlis, maka hendaklah diketahui bahawa adalah menjadi hasrat MAIPs mencapai matlamat kecemerlangan dalam pengurusan.

“Untuk itu, MAIPs sudah menggariskan beberapa panduan dalam mencapai maksud terbabit sebagai satu proses berterusan membabitkan pelbagai aspek termasuk pengendalian dan pengimarahan masjid.

“Bagi menunaikan hasrat berkenaan, agensi di bawah MAIPs sudah dipertanggungjawab menjalankan fungsi dan peranan yang sewajarnya,” titahnya.

Semalam, 25 imam dilapor ditamatkan perkhidmatan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) berkuat kuasa 1 Januari tanpa dinyatakan sebarang alasan.

Dua bekas iman dilaporkan berkata pemecatan itu dikatakan berpunca daripada amalan seperti berzikir beramai-ramai selepas solat, membaca qunut, membaca Yasin pada malam Jumaat serta berselawat ketika solat tarawih.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin bagaimanapun berkata pemecatan itu dilakukan terhadap imam-imam ‘tua’ agar dapat digantikan dengan yang lebih muda.

Beliau turut membangkitkan masalah imam yang tidak mampu membaca al-Quran dengan sempurna, dikaitkan dengan disiplin, tidak menghadiri kurus, tidak membaca khutbah Jumaat disediakan, membawa penceramah luar dan menyentuh isu politik dalam ceramah di masjid.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, antara langkah terbabit termasuklah dengan melantik imam dan jawatankuasa baharu bagi masjid di seluruh Perlis yang dilaksanakan secara berperingkat.

Berikutan itu, baginda meminta semua imam terbabit menerima keputusan yang dibuat MAIPs dan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada imam dan jawatankuasa masjid yang baharu dilantik.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!