Dulu BN Dituduh Lindungi Syarikat Minyak, Sekarang PH Yang Naikkan Margin Keuntungan – Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulang paku buah keras kepada Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua apabila memaklumkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menaikkan margin keuntungan stesen minyak seperti yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu mempersoalkan sama ada tindakan menaikkan margin keuntungan stesen minyak seperti yang diputuskan oleh PH semalam adalah merupakan langkah menjaga kepentingan syarikat minyak atau rakyat.

Persoalan itu sekali gus menempelak kenyataan Tony sebelum ini bahawa tindakan kerajaan BN sebelum ini yang menetapkan harga petrol di bawah harga runcit hanya merugikan rakyat dan seolah-olah melindungi keuntungan syarikat minyak.

“Tentu Tony tahu bahawa bermula hari ini, harga runcit petrol juga ditetapkan oleh kerajaan PH dan juga akan di umumkan setiap minggu. Bukan itu sahaja, tentu Tony juga mengambil tahu bahawa kerajaan telah menaikkan margin keuntungan stesen minyak semalam, satu langkah yang kerajaan BN masa saya tidak ambil.

“Bukan setakat tahu tetapi Tony sendiri mungkin antara mereka yang menyumbang kepada keputusan tersebut. Langkah itu jaga kepentingan syarikat minyak ataupun kepentingan rakyat? rakyat korban atau tidak?,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Menerusi hantaran itu juga, Najib menyorot semula kenyataan Tony seperti yang disiarkan menerusi portal Roketkini bertarikh 23 Mac 2017.

Kenyataan tersebut telah mendakwa bahawa dasar kerajaan BN yang enggan membenarkan syarikat pengedar bahan api bersaing dengan menetapkan harga petrol di bawah harga runcit yang ditentukan kerajaan hanya merugikan rakyat.

Menurut Tony, langkah kerajaan BN pada masa itu seolah-olah cuba melindungi keuntungan syarikat minyak dan gas dengan mengorbankan kepentingan rakyat.

Sementara itu, Najib secara sinis menyifatkan keputusan kerajaan supaya penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu.

“Bukan main seronok DAP hari-hari hentam setiap keputusan kerajaan BN dahulu untuk menghasut rakyat dan menanam kebencian. Kini, hampir semua yang mereka buat sama dengan kerajaan BN.

“Kecuali hari pengumuman harga ditukar dari hari Rabu kepada hari Jumaat, mungkin hari Jumaat dipilih dan bukan Rabu kerana DAP prihatin rakyat?

“Mungkin hari Jumaat dipilih kerana lebih senang untuk rakyat beratur pada tengah malam Jumaat memandangkan lebih ramai orang bercuti pada hari Sabtu?,” katanya.- UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.