BERSATU Sukar Bantu Masyarakat Kerana Kurang Kewangan

KOTA BHARU: Pemimpin bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di seluruh negara berdepan masalah kewangan, sekali gus menyukarkan mereka memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata ketua bahagian seluruh negara berjumpa dengan beliau dan menyatakan kekangan kewangan dihadapi mereka.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, meminta kumpulan dalam BERSATU yang menentang cadangan beliau supaya berpijak di bumi yang nyata bahawa parti tidak mempunyai wang.

“Kita kena berpijak di bumi nyata, jika tidak ada duit, tidak ada duitlah. Kita dalam berdepan masyarakat bukannya kena berjimat kerana kita kini berjuang atas dasar yang baik.

“Ramai ketua bahagian di seluruh negara berjumpa saya menyatakan mereka tiada wang. Jadi suara saya ketika perhimpunan baru-baru ini mewakili mereka (ketua bahagian).

“Saya tidak mahu apa yang berlaku kepada kerajaan dahulu berulang terutama kepincangan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Terdahulu Abdul Rashid yang baru tiba dari Kuala Lumpur disambut kira-kira 100 pemimpin dan ahli BERSATU Kelantan diketuai Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor.

Abdul Rashid berkata demikian sebagai mengulas kenyataannya dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU, minggu lalu supaya ketua bahagian dan ketua cawangan diberikan projek kerajaan supaya dapat menjana wang serta lebih banyak peluang bagi mempertahankan parti dalam pilihan raya akan datang.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin muda sayap parti termasuk Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengecam Abdul Rashid secara terbuka.

Mengulas lanjut Abdul Rashid berkata, beliau belum sempat menjelaskan bagaimana kaedah sebenar bagi merealisasikan cadangan yang dikemukakan itu.

“Belum sempat saya beri penjelasan orang tuduh saya macam-macam termasuk mengamalkan kronisme… itu semua mengarut dan manusia sekarang banyak berfikiran kotor dan jahat. Saya dan rakan saya tidak begitu.

“Apa yang dikemukakan tempoh hari banyak asasnya tetapi orang tidak bagi ruang untuk saya huraikan secara terperinci cadangan itu. Saya ada satu ‘buku’ untuk terangkan cadangan berkenaan. Biar keadaan tenang dahulu sebelum saya buat tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, beliau dan pemimpin BERSATU Kelantan memberi sokongan kepada Abdul Rashid dan mengakui rata-rata pemimpin di peringkat negeri berdepan masalah kewangan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.