Anak Ditahan Kes Dadah, Mat Sabu Serah Sepenuhnya Pada Pihak Berkuasa

SHAH ALAM – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengesahkan bahawa anak lelakinya, Ahmad Saiful Islam Mohamad, ditahan polis dalam satu serbuan polis, malam Jumaat.

Mohamad atau Mat Sabu bagaimanapun berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bersabit penahanan anak lelakinya itu.

“Saya telah dimaklumkan penahanan anak saya Ahmad Saiful Islam Mohamad oleh pihak polis hari ini.

“Susulan penahanan ini, saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan proses undang-undang sedia ada.

“Anak saya sama seperti anak orang lain juga tertakluk kepada proses undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa anak lelaki seorang menteri berusia 31 tahun ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat.

Operasi di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Dalam serbuan berkenaan, seramai 101 individu telah diperiksa membabitkan 55 wanita dan 46 lelaki, dengan dua lelaki termasuk anak menteri itu ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.