Abdul Rashid Tidak Tunduk Desakan Letak Jawatan Sebagai Naib Presiden Bersatu

SHAH ALAM – Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata beliau tidak ada sebab untuk meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Bersatu sebagaimana desakan beberapa pihak sebelum ini susulan kenyataannya yang mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan parti.

“Ia hanya desakan luar yang tiada kaitan dengan Bersatu dan bukan dari dalam parti,” katanya dipetik Bernama.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya yang juga bekas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah mendesak Abdul Rashid meletakkan jawatan berikutan cadangannya agar parti menggunakan kedudukannya sebagai kerajaan bagi menyalurkan kontrak dan projek kepada ketua-ketua bahagian.

Maria berkata, Abdul Rashid wajar meletak jawatan dan menyifatkan bahawa bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya itu dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai sebarang perbezaan dalam ideologi berpolitik.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid malah menyifatkan tindakannya yang mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan dalam perhimpunan agung tahunan parti baru-baru ini sebagai berasas, dibuat di tempat yang betul dan pada masa yang tepat.

Katanya, sebagai naib presiden beliau hanya menyuarakan apa yang diluahkan ketua-ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara.

Tambahnya, ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara sering mengadu kepadanya yang tidak mempunyai dana dan sukar melaksanakan program di kawasan masing-masing.

“Apa saya sebut itu tidak ada skrip, tetapi spontan. Saya terfikirkan perkara itu kerana ramai ketua bahagian dan cawangan datang kepada saya berkongsi masalah mereka, bukan Kelantan sahaja tetapi seluruh negara. Sebagai naib presiden, saya rasa perlu suarakan perkara ini.

“Bagi saya, kita berpijaklah di bumi nyata. Kalau kita tidak ada duit, (maka) tidak adalah. Dalam memberi khidmat kepada masyarakat, kita tidak boleh berjimat. Takkan kita nak ulangi kepincangan kerajaan dulu? Kita nak rakyat sokong kita secara berterusan, bukan sepenggal sahaja,” katanya sambil meluahkan kekesalan kerana dikecam tanpa diberi kesempatan untuk menjelaskan cadangan tersebut. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.