Rezeki Banjir, Penduduk Ambil Kesempatan Jual Ikan dan Ubi Kayu

KUANTAN  — Musim banjir mungkin dianggap bencana kepada kebanyakan penduduk yang terjejas di sini terutama apabila banyak harta benda yang rosak, namun bagi sesetengah penduduk, kehadiran musim banjir membawa bersama rezeki untuk mereka.

Mereka mengisi waktu lapang dengan menjala ikan sungai yang keluar dari lubuk tersembunyi selama ini dan ‘hanyut’ bersama air bah sebelum menjual hasilnya di tepi Jalan Sungai Lembing ini.

Bagi peneroka Rosli Baharom, 53 dari Bukit Sagu, beliau tidak menyangka hasil  tangkapan yang diperoleh tahun ini lebih lumayan berbanding tahun lepas, melebihi daripada keperluan untuk membuat lauk nasi.

InI menyebabkan beliau bersama anaknya, Afandi Rosli, 24 mendirikan gerai kecil untuk menjual hasil tangkapan di Kampung Pandan.

“Alhamdulillah, ini rezeki saya tahun ini, sehari bolehlah saya mendapat RM200 hasil jualan pelbagai jenis ikan sungai, sedikit sebanyak dapat menampung pendapatan kami sekeluarga,” katanya ditemui Bernama semalam.

Antara jenis ikan yang berjaya ditangkap termasuk ikan lampam, lampam jawa, ikan potok serta ikan sebarau yang dijualnya di antara RM10 hingga RM15 sekilogram.

“Saya akan pasang jaring sebanyak mungkin pada petang dan kutip hasilnya pada waktu pagi keesokan harinya. Kebiasannya ikan ini datang dari kawasan ladang yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Bagi penggemar ikan sungai terutama sekali ikan lampam, Siti Aisyah Man, 52 dari Bukit Setongkol,  kesukaran untuk mendapat ikan lampam membuatkan Aisyah memborong ikan tersebut.

“Susah hendak dapat ikan ini kerana ia berhabitat di hulu sungai, maka kalau air melimpah, ikan tersebut dihanyutkan oleh arus ke kawasan hilir sungai,” katanya yang membeli ikan itu untuk dibuat singgang atau masak lemak cili api selain dibuat pekasam.

Bagi, Mohd Salahudin Abdullah, 68, walaupun hanya menjual ikan-ikan bagi pihak kawannya, beliau akan mengambil untung RM5 atas jualan ikan lampam yang dijualnya pada RM20 sekilogram.

“Saya beli dari kawan yang memukat yang ada kemudahan menangkap ikan seperti bot fiber serta enjin, sebab itu harga yang saya jual mahal sedikit kerana ada orang tengah yang membekalkan ikan-ikan ini kepada saya,” katanya.

Selain ikan-ikan sungai yang dijual penduduk di sekitar daerah ini, penjualan ubi kayu juga didapati membawa hasil yang lumayan kepada dua peniaga Mohd Gani Ariffin, 48, dan Mohd Rezuan, 33, yang membuka gerai mereka di Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Gudang Rasau di sini.

Mohd Gani, yang menjual ubi kayu putih dengan harga RM4 sekilogram dan RM10 bagi tiga kilogram, menganggap musim hujan membawa bersama rezeki untuknya.

“Dalam tempoh tiga hari sahaja berniaga ubi kayu di sini, kami dapat hasil sebanyak RM600 dan kalau dapat pendapatan sebegini setiap hari, pendapatan kami lebih daripada orang kerja kerajaan,” katanya sambil tertawa kecil. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.