Murid Parah Dilanggar, Diseret 15 Meter

Seorang murid tahun dua cedera parah di bahagian kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika berada di dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Air Baruk Jasin di Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Arshad Abu berkata kanak-kanak lelaki itu, Mohammad Faris Zakwan Zainuddin, 8, diseret kira-kira sejauh 15 meter selepas dilanggar kereta tersebut yang dipandu oleh pekerja am sekolah terbabit kira-kira pukul 6.50 pagi semalam.

Beliau berkata Mohammad Faris turut mengalami luka di tangan kiri dan kanan.

“Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku, pemandu berusia 62 tahun itu dalam perjalanan keluar dari dataran perhimpunan sekolah itu sebelum melanggar dan menyeret murid berkenaan tanpa disedarinya.

“Kejadian itu hanya disedari seorang guru lelaki sekolah tersebut apabila beliau mendengar suara orang mengerang ketika kenderaan terbabit melaluinya sebelum mengarahkan pemandu menghentikan kereta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata guru berkenaan kemudian melakukan pemeriksaan di sekitar kereta berkenaan sebelum menemui murid tersebut di bawah kereta terbabit.

Katanya Mohammad Faris dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Mohd Sham Abdullah berkata ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah dinasihatkan tidak memandu kenderaan mereka masuk ke kawasan sekolah sebagai langkah keselamatan dan mengelak kemalangan.

“Ibu bapa hanya perlu menghantar anak mereka di luar pintu masuk sekolah dan kerjasama mereka perlu bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.