Mangsa Banjir Gembira Keluarga Diraja Datang Melawat

CHUKAI – Hampir 900 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok teruja dan rasa terubat hati meskipun berhadapan dengan bencana berkenaan apabila, hari ini dikunjungi keluarga diraja.

Mereka begitu terharu dan gembira menerima kunjungan Tengku Muhammad Ismail berangkat ke PPS SK Bukit Mentok bersama adindanya, Tengku Muhammad Mu’az.

Keluarga diraja itu meluangkan masa selama setengah jam untuk bertanya khabar mangsa banjir di situ, selain memberi sumbangan RM200 kepada 200 ketua keluarga di tempatkan di PPS.

Warga Emas, Osman Mamat, 76, berkata beliau tidak lena tidur semalam selepas dimaklumkan akan menerima kunjungan Raja Muda, hari ini.

Beliau yang berkerusi roda teruja bertemu dengan Tengku Muhammad Ismail yang mencemar duli melawat mangsa banjir di PPS berkenaan.

“Saya sudah berusia dan tidak pernah berkesempatan bertemu mata dengan orang istana sebelum ini.

“Apabila dapat tahu malam tadi bahawa Raja Muda akan melawat kami di sini, saya sangat gembira.

“Sedikit sebanyak kehadirannya dapat mengubat hati kami selepas berhadapan dengan bencana banjir ini,” katanya.

Penerima sumbangan, Maziah Wok, 67, berkata kesempatan kali pertama dapat bersua dengan Raja Muda cukup menggembirakannya.

Katanya, dia hanya melihat Raja Muda di televisyen sebelum ini dan peluang dapat berjumpa dengan baginda cukup mengujakan.

“Saya lebih bersyukur kerana baginda turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sini.

“Terima kasih kepada baginda dan adinda yang sudi menjenguk dan menghulurkan sumbangan,” katanya.

Selain melawat PPS SK Bukit Mentok pagi ini, Tengku Muhammad Ismail juga dijadualkan melawat PPS Dewan Orang Ramai Batu 14; Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor dan Surau Kampung Pulau Tempurung.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan, sehingga jam 12 tengah hari tadi, mangsa banjir terus meningkat kepada 2,570 orang daripada 646 keluarga di 15 PPS di Kemaman dan Dungun, berbanding 2,149 mangsa daripada 541 keluarga pagi tadi. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.