Liza Hanim Gunakan Peluang

MEMENANGI tempat kedua dalam program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) baru-baru ini membuka lembaran baharu buat penyanyi Liza Hanim. Mahu menggunakan peluang yang hadir ini sebaik mungkin, antara janji yang diberikan Liza buat peminatnya ialah memastikan kehadirannya kali ini akan berkekalan.

Enggan mendabik dada dengan pencapaian di GV4, kata Liza, pada masa ini dia lebih selesa bersikap realistik. Menyedari, namanya masih lagi diperkatakan, Liza dia perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin dalam merangka kerjaya 
seninya.

“Memang saya mahu teruskan dalam bidang nyanyian ini, dalam masa sama, pihak pengurusan saya juga sudah menyenarai rancangan untuk kerjaya saya untuk tahun ini.

“Kita tahu selepas GV4, semuanya masih lagi panas. Sebab itu saya mahu gunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.

Mengakui pernah senyap seketika sebelum kembali menggegarkan dunia hiburan di platform GV4, tambah Liza, tiada apa yang lebih mengharukan selain daripada mengetahui peminatnya selama ini tidak pernah melupakannya. Bagaimanapun, apabila ada segelintir pencintanya yang kecewa kerana dia sekadar ditabal pemenang tempat 
kedua, Liza mengharapkan kenyataan itu harus diterima semua pihak.

“Apa yang boleh saya beritahu, pada malam akhir GV4, saya sudah buat yang terbaik. Memang saya letakkan harapan untuk menang, tetapi apa yang lebih penting saya berada di belakang Aishah yang kita tahu merupakan seorang legenda seni tanah air,” jelasnya.

Keluarga tetap nombor satu

Tahu kesibukan yang bakal dialaminya selepas ini, Liza bagaimanapun, tidak mahu mengambil mudah tugas seorang ibu dan isteri. Jelasnya, dia sudah terangkan lebih awal kepada pihak pengurusan yang fokus utamanya ialah pada keluarga berbanding kerjaya.

“Buat masa ini anak sulung saya tidak ada masalah, cuma tiga lagi anak saya agak baru dengan keadaan ini. Sebelum ini jarang kami berjauhan, tetapi rasanya tidak akan ada masalah sebab sekarang mereka sedang membiasakan diri.

“Pihak pengurusan juga sangat memahami, malah mereka tidak ada masalah dengan jadual saya. Dalam masa sama, saya perlu menguruskan keluarga,” jelasnya.

Selain keluarga Liza, juga sibuk membantu suaminya Mohd. Shahrin Mohd. Samsudin atau Shah menguruskan perniagaan mereka. Menurut Liza, walaupun ketika ini masanya sangat terbatas untuk membantu suaminya, namun ada urusan tertentu di pejabat yang tetap diselesaikannya.

“Suami saya faham, maknanya dia memberi sepenuh sokongan buat saya dalam bidang nyanyian ini.

“Bukan saya melepaskan semua tanggungjawab dalam bidang perniagaan kepada suami, sebab ada bahagian yang memerlukan saya menguruskannya lagi seperti kewangan,” tambahnya.

Sedia berlakon

Sekian lama meninggalkan dunia lakonan, Liza atau pun nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 38, mengakui, dia memerlukan tunjuk ajar dalam menghayati watak yang diberikan. Katanya, jika benar ada tawaran berlakon, dia sedia menerimanya.

Bagaimanapun, ketika ini dia masih buntu dengan watak yang sesuai dengan umurnya kini.

“Rasanya tidak ada masalah, tetapi pengarah kena bantu saya sebab dah lama tinggalkan bidang ini.

“Selain itu juga kena tengok keadaan sebelum terima tawaran, bukan apa sebagai isteri dan ibu saya perlu tahu lokasi penggambaran kalau boleh tidak mahu keluar dari kawasan Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, sempena 2018, Liza berharap agar impiannya untuk mengadakan konsert akan terlaksana. Katanya lagi, mengadakan konsert solo merupakan impian yang tertangguh sebelum dia berkahwin lagi.

“Memang impian saya untuk mengadakan konsert sejak anak dara lagi, saya harap hasrat itu dapat dilaksanakan.

“Bagaimanapun, semua orang menyedari bukan bukan mudah untuk mengadakan konsert, kena ada persiapan yang betul, cari penaja dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Bercakap mengenai lagu baharu berjudul Mimpi, kata Liza, lagu ciptaan Hafiz Hamidun ,itu sudah tertangguh hampir setahun.

“Insya-Allah jika tiada halangan lagu ini akan disiarkan hujung bulan depan,” katanya lagi.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.